SARIKEI: Kehadiran sarang tebuan di bawah bumbung sebuah rumah dua tingkat di Jalan Bougainvilla mencetuskan risiko kepada keselamatan penghuni sebelum berjaya dimusnahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei.
Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas memusnahkan serangga berbisa tersebut pada 8.17 malam.
“Respons dengan panggilan kecemasan, seramai tujuh anggota bomba digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati terdapat sarang serangga berbisa jenis tebuan berada di bawah bumbung sebuah rumah dua tingkat.
“Operasi bermula pada 8.23 malam selepas komander operasi melakukan pemeriksaan terhadap keadaan di kediaman tersebut,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Katanya, anggota bomba yang lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) bertindak menggunakan racun serangga untuk memusnahkan sarang tebuan tersebut.
“Operasi memusnahkan sarang tebuan berjaya dikawal pada 8.45 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 8.48 malam,” katanya.
Oleh Earl Anek




