KUCHING : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengalu-alukan sumbangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) daripada orang ramai untuk digunakan semasa operasi sanitasi awam.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Tiong Ling Hii berkata, pihak bomba sememangnya dibekalkan dengan PPE namun sebenarnya masih tidak mencukupi.
“Anggota kami melakukan operasi sanitasi awam ini setiap hari di beberapa lokasi dan pasti memerlukan banyak bekalan PPE.
“Kami mmpunyai PPE yang agak terhad khususnya untuk digunakan semasa menjalankan operasi di kawasan yang sudah tercemar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Penyerahan Sumbangan PPE oleh Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian yang disampaikan oleh Presidennya, Datuk Richard Wee di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan di sini semalam.
Menurut Tiong, antara PPE yang menjadi keperluan penting ialah baju hujan pakai buang yang sebelum ini anggotanya terpaksa menggunakan baju hujan bomba sendiri.
Katanya, beliau sangat berterima kasih atas sumbangan yang dihulurkan itu dan akan digunakan dengan sebaiknya.
Tambahnya, sumbangan PPE itu juga bukan hanya digunakan oleh anggota di Kuching tetapi turut diagihkan ke balai-balai di Samarahan, Bintulu dan Sibu.
Kata Tiong, sumbangan seperti itu menunjukkan sikap prihatin masyarakat terhadap keperluan pasukan barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19 yang melanda bukan sahaja di Sarawak malah seluruh negara dan dunia.
Perkara seperti itu juga katanya memberi kesan positif kepada anggota yang bertugas kerana mereka tahu penat lelah mereka dihargai sekali gus menjadi sokongan moral.
Antara sumbangan yang disampaikan ialah baju hujan, penutup mulut dan hidung, air mineral, cecair pembasmi kuman, dan penutup kepala yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3,000.