
KUCHING: Rondaan pemantauan di beberapa kawasan berisiko banjir sekitar bandar raya ini dijalankan oleh pihak bomba susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi, hari ini.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, rondaan tersebut dilaksanakan dari 9.30 pagi hingga 11.00 pagi bagi memantau keadaan paras air di beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko.


Antara kawasan yang dipantau ialah Jalan Mendu, Jalan Kampung Simpang Tiga, Kampung Kudei serta kawasan Tebingan Kuching di sepanjang Sungai Sarawak.
Pemantauan dijalankan berikutan hujan lebat yang bermula sekitar 6.30 pagi dan berlarutan melebihi tiga jam.

Hasil pemantauan mendapati berlaku sedikit kenaikan paras air di beberapa kawasan, namun keadaan keseluruhan masih terkawal dan tidak menimbulkan ancaman serius kepada penduduk setempat.
Orang ramai, khususnya penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya paras air terus meningkat.
Oleh Norman B