Bomba giat padam baki 0.1 hektar kebakaran hutan gambut Jalan Bungin-Serembang

Facebook
WhatsApp
PASUKAN bomba giat memadam baki kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin-Serembang, Spaoh, dengan kira-kira 0.1 hektar kawasan masih belum dipadamkan, khususnya di Sektor A dan C berhampiran tepi jalan serta parit. Foto BBP Betong

SPAOH: Pasukan bomba dan agensi berkaitan terus bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin-Serembang yang kini memasuki hari ketujuh operasi hari ini.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi pemadaman diteruskan hari ini dengan pasukan pemadaman bergerak ke lokasi kejadian seawal jam 8.15 pagi.

Kebakaran yang membabitkan keseluruhan kawasan seluas kira-kira 35 hektar itu kini hampir dikawal sepenuhnya,  34.9 hektar kawasan telah berjaya dipadam.

Bagaimanapun, masih terdapat kira-kira 0.1 hektar kawasan masih belum dipadamkan, khususnya di Sektor A dan C berhampiran tepi jalan serta parit.

Pasukan turut mengesan kebakaran baharu di penjuru Sektor C dan E, manakala kebakaran baharu di Sektor E dan F sebelum ini telah berjaya dipadamkan.

Operasi pemadaman diketuai Komander Operasi, PBK I Yusof Tamin, dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong.

Operasi turut mendapat sokongan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 11 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta tiga unit jengkaut bagi membantu kerja pemadaman dan pengawalan kawasan terbakar.

Menurut JBPM Sarawak, antara cabaran utama di lokasi ialah laluan yang sempit dan sukar dilalui selain ketiadaan sumber air di kawasan kebakaran.

Keadaan itu turut menyukarkan operasi berikutan liputan rangkaian komunikasi Government Integrated Radio Network (GIRN) dan telefon yang kurang memuaskan.

Pasukan bomba bagaimanapun terus menjalankan pemantauan dan kerja pemadaman bagi memastikan baki kawasan terbakar dapat dikawal sepenuhnya serta mengelakkan api daripada merebak ke kawasan berhampiran.

Oleh Adi Safarman