DARO: Hanya kira-kira dua hektar daripada keseluruhan 29 hektar kawasan yang terbakar di Jalan Tanjung Gelang, Kampung Kut, masih belum dipadam selepas operasi memasuki hari kelapan hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, sebanyak 27 hektar kawasan terbakar berjaya dipadam setakat operasi hari ini.
Menurutnya, operasi diteruskan dengan memberi tumpuan kepada dua sektor bagi memastikan kebakaran tidak terus merebak.

“Bagi sektor di bahagian belakang stesen minyak berhampiran rumah burung, anggota menggunakan sebuah pam hutan dengan hos hutan sepanjang 300 kaki serta mendapatkan sumber air dari parit berhampiran.
“Manakala di sektor berhampiran Menara Celcom, kerja pemadaman dan pembinaan benteng api dijalankan menggunakan sebuah pam hutan, hos hutan sepanjang 300 kaki serta sumber air dari takungan yang digali menggunakan jentera pengorek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua sektor menggunakan kaedah pembanjiran keseluruhan (total flooding) dalam usaha memadam sepenuhnya kawasan yang masih terbakar.

Katanya, antara cabaran sepanjang operasi ialah cuaca panas dan kering yang menyebabkan api mudah merebak, kekurangan sumber air, akses jalan yang sempit serta liputan GIRN yang kurang memuaskan.
Operasi itu ditangguhkan pada 5.30 petang dan akan disambung semula esok.
Terdahulu, kebakaran yang dilaporkan pada 10 Ogos lalu itu melibatkan kawasan seluas 29 hektar di Jalan Tanjung Gelang, Kampung Kut.
Oleh Tarani Lanting




