

BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor terus mempertingkat rondaan pemantauan banjir apabila dua kawasan dikenal pasti mengalami limpahan air pada semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata rondaan pemantauan sempena monsun timur laut (MTL) telah dijalankan pada 8.00 malam melibatkan kawasan Kampung Muhibah dan Jalan Mahkamah.
“Rondaan pemantauan mendapati air telah membanjiri dua jalan utama iaitu Kampung Muhibah dan Jalan Mahkamah.
“Namun paras air menunjukkan trend beransur surut semasa rondaan dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, keadaan cuaca semasa rondaan adalah baik.
“Sepanjang rondaan dilaksanakan, keadaan di kedua-dua lokasi berada dalam keadaan terkawal.
“Tiada sebarang panggilan kecemasan diterima sepanjang rondaan pemantauan dijalankan,” katanya.
Oleh Earl Anek