
BINTANGOR: Penemuan sarang serangga berbisa di bahagian bawah sebuah rumah di Sungai Meradong telah mencetuskan kebimbangan penghuni.
Risau dengan keselamatan diri dan keluarganya, penghuni rumah menghubungi pihak bomba untuk bantuan memusnahkan sarang serangga berbisa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 6.00 petang semalam.
“Tiga orang anggota bomba segera digerakkan ke lokasi penemuan sarang serangga berbisa selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati terdapat sarang serangga berbisa berada di bahagian bawah rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, anggota bomba menggunakan pakaian pelindung diri (PPE) sebelum bertindak memusnahkan sarang serangga menggunakan semburan racun serangga.
“Sarang serangga berbisa berjaya dimusnahkan dalam tempoh lebih kurang 18 minit.
“Khidmat khas memusnahkan sarang serangga berbisa selesai sepenuhnya pada 6.35 petang,” katanya.
Oleh Earl Anek