

BINTANGOR: Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor telah menjalankan pemeriksaan pili bomba jenis pili bomba tanah di kawasan kediaman Rumah Augustine, Sungai Janting.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata ia adalah bagi memastikan kemudahan tersebut berada dalam keadaan baik dan berfungsi sekiranya berlaku kecemasan.
“Pemeriksaan pili bomba tersebut dijalankan sekitar 10.30 pagi baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan kesiapsiagaan sistem bekalan air bagi tujuan pemadaman kebakaran.
“Hasil pemeriksaan mendapati pili bomba tersebut berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan sekiranya diperlukan dalam operasi kecemasan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pemeriksaan berkala ke atas pili bomba merupakan langkah penting bagi memastikan setiap kemudahan sokongan pemadaman kebakaran sentiasa dalam keadaan berfungsi dengan baik.
“Pihak kami akan terus menjalankan pemeriksaan secara berkala di kawasan kediaman dan lokasi strategik.
“Ia betujuan untuk memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum demi keselamatan masyarakat,” katanya.
Oleh Earl Anek