

BINTANGOR: Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor telah menjalani program pemantapan kemahiran melalui latihan aras tinggi yang diadakan di menara latihan BBP Bintangor, baru-baru ini.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran teknikal dan tahap kesiapsiagaan anggota bomba dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan sebenar di lapangan.
“Latihan dijalankan bagi memastikan setiap anggota bomba bantuan memahami penggunaan peralatan dengan betul serta mampu melaksanakan tugasan dengan tahap keselamatan dan kecekapan maksimum.
“Latihan sebegini penting bagi menilai kemahiran dan kefahaman anggota bomba terhadap prosedur operasi menyelamat, selain memberi pendedahan praktikal dalam tugasan sebenar,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, program tersebut dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Haron Jenai dan PBK II Gara Ensonin.
“Antara pengisian latihan termasuklah taklimat ringkas penyelaras latihan, pengenalan peralatan perisian (software) dan perkakasan (hardware), latihan ikatan sauh (anchor) serta latihan ‘rappelling’ di menara latihan.
“Keseluruhan aktiviti berjalan dengan lancar dan jayanya tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan sepanjang latihan dijalankan,” katanya.
Oleh Earl Anek