
BINTANGOR: Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor berjaya mengawal kebakaran belukar yang berlaku di kawasan kebun pisang di Batu 7 1/2, Jalan Kelupu, semalam.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.40 petang, dan pasukan bomba tiba di lokasi beberapa minit kemudian.
“Lima anggota bomba, diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mijan Pamin, telah digerakkan ke lokasi dan memulakan operasi pada 4.53 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan kawasan belukar dalam kebun pisang yang dianggarkan seluas satu ekar.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan bekalan air dari tangki jentera, dibantu oleh penggunaan alat pemukul api.
“Berikutan tindakan pantas pasukan penyelamat, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 5.20 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.22 petang,” katanya.
Oleh Earl Anek