
KUCHING: Pasukan Bomba dan Penyelamat bertindak pantas menangani insiden tumpahan minyak sepanjang kira-kira empat kilometer dari Jalan Keruing menuju ke Jalan Tun Razak, di sini hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), panggilan kecemasan diterima pada 12.53 tengah hari dan pasukan operasi dari Balai Bomba Tabuan Jaya dengan bantuan Balai Bomba Padungan digerakkan ke lokasi kejadian.
Komander operasi, PBK I Suhardi Razali berkata, seramai 16 anggota dengan kekuatan dua jentera Penyelamat dan Pemadam Kebakaran (FRT) terlibat dalam operasi pembersihan.

“Kerja-kerja pembersihan minyak di atas jalan dilaksanakan segera bagi mengelakkan kemalangan serta gangguan lalu lintas,” katanya.
Operasi turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan PBS Bako bagi memastikan kawasan terlibat selamat digunakan semula oleh pengguna jalan raya.
Setakat ini, punca tumpahan minyak masih dalam siasatan. Namun keadaan berjaya dikawal dan trafik kembali lancar selepas pembersihan selesai.