

SERIAN: Seorang pelajar perempuan dibantu keluar dari kediamannya yang dinaiki air dalam satu operasi khidmat khas oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Taman Kucinta, Jalan Serian–Sri Aman, pagi ini.
Dalam kejadian sekitar 8.30 pagi, pelajar berkenaan dilaporkan terperangkap bersama ibu bapanya apabila laluan keluar ke jalan utama tidak dapat dilalui berikutan banjir yang melanda kawasan perumahan tersebut.
Menurut pihak bomba, jarak rumah mangsa ke jalan utama dianggarkan sekitar 500 meter dengan paras air mencecah sehingga 0.91 meter.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bertindak menggunakan sebuah bot bagi membawa pelajar itu ke kenderaan yang menunggu di jalan utama.
Difahamkan, pelajar terbabit dalam perjalanan bagi urusan pendaftaran di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuching.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Bilong Usat itu melibatkan dua anggota serta sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot.
Operasi ditamatkan sekitar 9.10 pagi selepas mangsa disahkan selamat.