BATU NIAH: Pihak bomba terpaksa dipanggil untuk membantu membawa keluar seorang pelajar perempuan yang sesak nafas ketika mengadakan lawatan ke Taman Negara Gua Niah semalam.
Mangsa berusia 19 tahun itu mengikuti rombongan Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu dalam kunjungan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sekitar jam 2.30 petang mengenai perkara itu.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melaporkan terdapat seorang mangsa tidak dapat berjalan balik dari Gua Kain Hitam (Painted Cave) kerana mengalami sesak nafas.
Beliau berkata anggota bomba bersama dua kakitangan SFC bergerak menuju ke Gua Niah pada jam 2.50 petang dan menemukan mangsa pada jam 3.40 petang di kawasan antara Gua Besar Niah (Niah Great Cave) dan Gua Kain Hitam, yang jarak dari jeti sejauh lima kilometer.
“Mangsa terbabit dibawa menggunakan pengusung oleh pihak bomba ke Rumah Patrick Libau, Sungai Tangap.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak SFC dan seterusnya dihantar ke Klinik Batu Niah untuk tindakan lanjut.
“Setelah keadaan didapati selamat, operasi ditamatkan pada jam 5.35 petang,” katanya.
Beliau berkata, rombongan itu terdiri daripada 50 orang termasuk seorang pensyarah, 17 pelajar perempuan dan 32 pelajar lelaki,” katanya.
Oleh Adum Liu