
IPOH: Penyelia pembersihan menemukan bom mortar lama di KM265 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Terowong Menora di sini hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata lelaki berusia 51 tahun itu menjumpai bom itu semasa membersihkan pokok dan rumput di sekitar kawasan itu kira-kira 9.30 pagi.
“Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah menjalankan pemeriksaan terhadap objek yang merupakan kelengkapan tentera yang belum meletup (UXO) jenis bom mortar 81mm.
“Pasukan UPB mengambil tindakan pemusnahan dengan menggunakan teknik high order kaedah elektrik dan ia berjaya dijalankan tanpa menjejaskan orang ramai dan harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Plustrafik menerusi aplikasi X memaklumkan semua lorong arah utara dan selatan telah dibuka sepenuhnya pada 3.40 petang setelah lorong kiri dari KM264.7-KM265 arah selatan dekat Terowong Menora ditutup sementara bagi kerja-kerja kecemasan.
Plustrafik juga memaklumkan ketika kerja-kerja kecemasan itu dilakukan, trafik sesak sejauh 15km.
–Bernama