PUTRAJAYA: Kerajaan semalam membenarkan aktiviti menonton wayang, teater dan ‘live event’ mulai 1 Julai ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun Ismail berkata, aktiviti itu hanya dibenarkan di dewan tertutup dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat, yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, aktiviti itu tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap pertunjukan dan tertakluk kepada kapasiti dewan.
“SOP yang ditetapkan terutamanya jarakan sosial perlu dipatuhi pada setiap masa,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini semalam.
Turut dibenarkan ialah aktiviri riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar, serta kolam renang persendirian.
Selain itu, mesyuarat turut memutuskan kebenaran penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan juga bermula 1 Julai.
Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, sebagai prasyarat, setiap lokasi kolam renang mestilah menyediakan ‘Life Guard’ dan pemantau, ataupun penyelia, bagi memastikan keselamatan pengguna serta jumlah dan masa penggunaan terkawal.
Katanya, jumlah pengguna dalam kolam renang juga perlu berdasarkan kapasiti dan keluasan kolam renang.
“Walaupun tiada larangan bagi kanak-kanak untuk menggunakan kolam renang kanak-kanak, namun ia tidak digalakkan.
“Kolam renang ini juga perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan MITI, di laman web; notification.miti.gov.my dan pihak berkuasa tempatan, bagi tujuan pematuhan kepada SOP dan pantauan oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan),” katanya.
Menurut Ismail Sabri selain dari kolam renang, aktiviti pelancongan air seperti di sungai, laut dan tasik, juga dibenarkan dengan mematuhi SOP.
“Bagaimanapun, taman tema air masih tidak dibenarkan untuk beroperasi lagi,” katanya.
Sementara itu Ismail Sabri berkata, kebenaran penganjuran mesyuarat mestilah dilakukan dengan kehadiran peserta tidak melebihi 250 orang, serta patuh SOP ditetapkan.
Katanya, pada dasarnya kebenaran ini meliputi semua organisasi yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), untuk mengadakan mesyuarat agong dan mesyuarat-mesyuarat lain.
“Kebenaran ini juga meliputi semua mesyuarat, termasuk mesyuarat agong bagi syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), persatuan-persatuan yang berdaftar di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dibenarkan untuk mengadakan mesyuarat termasuk mesyuarat agung,” katanya.- Bernama