Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • “Boleh dibawa ke Kabinet jika lambat bertindak”,  Karim gesa percepat bina semula Rumah Panjang Bidayuh SCV
  • TEMPATAN

“Boleh dibawa ke Kabinet jika lambat bertindak”,  Karim gesa percepat bina semula Rumah Panjang Bidayuh SCV

Utusan Sarawak 3 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas majlis Pelancaran dan Sidang Media Pertukaran Pelancongan BIMP-EAGA 2026 di Kuching.

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bersedia membawa cadangan pembinaan semula Rumah Panjang Bidayuh di Kampung Budaya Sarawak (SCV) ke Kabinet Sarawak sekiranya proses itu terus mengalami kelewatan.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu kepada pengurusan baharu Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) memandangkan SCV berada di bawah agensi berkenaan.

“Walaupun SCV bukan di bawah bidang kuasa kementerian pelancongan, rumah panjang Bidayuh itu merupakan antara tarikan paling popular di lokasi tersebut dan perlu dibangunkan semula secepat mungkin.

“Saya telah memaklumkan supaya Rumah Bidayuh itu dibina semula. Jika masih lambat, kementerian kami bersedia membawa kertas cadangan ke Kabinet.

“Saya juga telah memaklumkan perkara itu kepada Premier Sarawak dan beliau bersetuju. Bagaimanapun, saya masih menunggu tindakan daripada SEDC kerana saya tidak boleh memaksa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas majlis Pelancaran dan Sidang Media Pertukaran Pelancongan BIMP-EAGA 2026 di sini, hari ini.

Tambah beliau, kelewatan membangunkan semula tarikan pelancongan boleh memberi kesan kepada industri pelancongan, justeru tindakan segera amat diperlukan.

“Kalau lambat, industri pelancongan akan menjadi perlahan. Sebab itu saya selalu tekankan kepada agensi berkaitan supaya bertindak ketika peluang masih ada,” ujarnya.

Untuk rekod, Rumah Panjang Bidayuh tersebut sebelum ini musnah dalam kejadian kebakaran pada Oktober 2025 sekitar 7.15 malam di kawasan Kampung Budaya Sarawak. 

Kejadian itu memusnahkan struktur berkenaan sepenuhnya, namun tidak melibatkan bangunan lain di kawasan tersebut dan berjaya dikawal daripada merebak oleh pasukan bomba.

Susulan kejadian itu, proses pembinaan semula masih belum dapat dimulakan sepenuhnya kerana memerlukan siasatan dan laporan lengkap, selain penilaian insurans serta penyelarasan antara pihak pengurusan SCV dan SEDC sebelum kerja-kerja pemulihan fizikal dilaksanakan.

Oleh Masrin Affirah

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Maritim Malaysia, PKPS Berganding Bahu Perkukuh Keselamatan Perairan Sarawak
Next: Sarawak pengerusi Kluster Pelancongan BIMP-EAGA 2025–2027, tuan rumah BETX2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.