Bola final, kostum Shakira bakal dilelong selepas Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
BARANGAN memorabilia Piala Dunia 2026 termasuk bola perlawanan akhir, pakaian persembahan separuh masa dan jersi bertandatangan pemain terkenal bakal dilelong bagi mengumpul dana pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia. Foto AGENSI

NEW YORK: Sebiji bola yang digunakan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026 serta pakaian persembahan artis pada pertunjukan separuh masa final kejohanan itu antara memorabilia yang akan dilelong oleh rumah lelong Christie’s di New York.

Menurut pengumuman Christie’s pada hari ini, lelongan dalam talian yang berlangsung selama seminggu itu akan bermula pada 22 Julai bagi mengumpul dana untuk ‘FIFA Global Citizen Education Fund’, sebuah inisiatif yang menyasarkan kutipan AS$100 juta bagi menyokong pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia menerusi penganjuran Piala Dunia.

Antara barangan utama yang ditawarkan ialah pakaian terdiri daripada baju pendek berwarna kuning dan seluar yang dipakai penyanyi pop Colombia, Shakira, dalam video muzik lagu Dai Dai, lagu rasmi Piala Dunia 2026.

KOSTUM Shakira antara barangan yang akan dilelong. Foto AFP

Turut dilelong ialah pakaian yang bakal dipakai Shakira ketika membuat persembahan dalam pertunjukan separuh masa pertama dalam sejarah perlawanan akhir Piala Dunia, yang dijadual berlangsung selama 11 minit dan turut menampilkan Madonna, Justin Bieber serta kumpulan BTS.

Beberapa bola sepak turut akan dilelong, termasuk bola yang digunakan dalam perlawanan akhir pada 20 Julai ini (waktu Malaysia) di Stadium MetLife, New Jersey, serta bola daripada perlawanan pembukaan di Mexico bulan lalu.

Selain itu, jersi Argentina edisi 2022 yang ditandatangani bintang bola sepak Lionel Messi serta jersi Amerika Syarikat yang ditandatangani skuad lelaki negara itu turut ditawarkan dalam lelongan berkenaan.– AFP