KUALA LUMPUR: Pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan untuk menyokong pertumbuhan dalam negeri sambil mengekalkan kadar inflasi, kata firma penyelidikan, Kenanga Research.
Justeru, ia menjangkakan bank pusat mengekalkan kadar tersebut sepanjang tahun 2024.
“Jika kerajaan memutuskan untuk mengapungkan harga bahan api pada kadar pasaran, risiko kenaikan harga pada unjuran inflasi kekal condong kepada menaik, terutamanya disebabkan oleh potensi kesan subsidi yang disasarkan.
“Selain itu, pengumuman kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024, bersama-sama dengan inisiatif Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baharu, dijangka menyokong permintaan domestik yang kukuh dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Namun begitu, pertumbuhan domestik masih terdedah kepada risiko luaran, termasuk ketegangan geopolitik yang meningkat, pemulihan China yang lembap dan kitaran teknologi yang lebih perlahan, kata Kenanga.
Selain itu, kelembapan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) disebabkan lonjakan kadar faedah yang berpanjangan, turut mengancam prospek pertumbuhan domestik.
Oleh itu, ia mengunjurkan BNM mengutamakan sasaran pertumbuhan empat hingga lima peratus.
Bank pusat itu juga dijangka mengekalkan pendirian neutral bagi menyokong pertumbuhan yang mampan, sambil memantau risiko kepada inflasi dan pertumbuhan, katanya.
Maybank Investment Bank Research (Maybank IB), yang berkongsi pandangan sama berkata unjuran OPR itu seiring dengan ramalan semasa pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang sederhana dan risiko yang meningkat kepada inflasi.
“Pada masa yang sama, kadar OPR yang stabil dengan ramalan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) meningkatkan prospek ringgit. Penyelidikan pertukaran mata wang asing kami melihat ringgit berakhir tahun ini lebih kukuh berbanding dolar AS pada 4.60,” katanya.
Maybank IB menyatakan bahawa faktor peningkatan prospek ringgit itu termasuk tanda-tanda pemulihan prospek pertumbuhan ekonomi domestik dan pemulihan eksport pada suku pertama 2024.
Sementara itu, AmBank Economics melihat dasar monetari BNM itu sebagai neutral, tetapi ia mungkin isyarat perlunya pengetatan monetari, bergantung kepada tindak balas permintaan susulan rasionalisasi subsidi bahan api.
“Secara ringkasnya, walaupun pendirian BNM semasa mengenai hala tuju dasar monetari adalah neutral, terdapat potensi yang meningkat terhadap kecenderungan menaikan kadar faedah pada suku akan datang,” katanya. – Bernama