KUALA LUMPUR: Tiga bank pusat iaitu Bank Indonesia (BI), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dua hala mengenai Rangka Kerja Kerjasama bagi Menggalakkan Transaksi Dua Hala Dalam Mata Wang Tempatan negara-negara terbabit.
Skop rangka kerja itu telah diperluas bagi meliputi lebih banyak transaksi rentas sempadan bersesuaian dan melangkaui perdagangan dan pelaburan langsung yang akan dilaksanakan secara berperingkat, kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.
Ketiga-tiga bank pusat itu juga komited untuk mengukuhkan kerjasama dalam penggunaan mata wang tempatan bagi urus niaga dua hala.
Pemeteraian MoU itu telah dilakukan oleh Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor Bank of Thailand Sethaput Suthiwartnarueput, di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank-Bank Pusat Asean di Jakarta, Indonesia.
Rangka kerja baharu itu akan turut memacu inisiatif pembayaran rentas sempadan bagi mendapatkan lebih banyak akses dan penyelesaian mata wang tempatan dengan lebih lancar, sekali gus meningkatkan kestabilan pasaran kewangan serantau serta memperkukuh aktiviti ekonomi rentas sempadan dan pasaran mata wang tempatan negara-negara tersebut.
Ini juga bagi menggantikan MoU mengenai rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan yang ditandatangani oleh tiga bank pusat itu pada 27 Ogos 2015 dan 23 Disember 2016. – Bernama