PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan) menyerahkan watikah pencalonan kepada Pengerusi Badan Perhubungan BN Johor Datuk Hasni Mohammad (kanan) pada Majlis Pengumuman dan Penyerahan Watikah kepada Calon BN bagi Pilihan Raya Negeri Johor Ke-15 di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor semalam. Turut kelihatan Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kiri). • Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) akan menampilkan lebih 70 peratus muka baharu sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 80 peratus daripada calon bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu juga terdiri daripada mereka yang mempunyai kelulusan akademik tinggi.
Beliau berkata, lebih 80 peratus calon terdiri daripada mereka yang berusia 55 tahun ke bawah.
“Kita melihat beberapa kriteria dengan menggunakan konsep winnability (boleh menang), acceptability (boleh diterima) dan likeability (disukai) serta pasukan ini diyakini mampu menjadi pencetus perubahan dan membawa harapan baharu kepada Johor,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon BN di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini semalam.
Pengumuman calon-calon itu dibuat Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad melibatkan UMNO dengan 37 calon, MCA (15) dan MIC (empat).
Ahmad Zahid berkata gandingan calon daripada golongan profesional dan berpengalaman itu mampu meraih sokongan lebih 700,000 pengundi muda yang layak mengundi susulan pendaftaran automatik Undi18.
Beliau turut mengumumkan Hasni yang merupakan poster boy BN bagi PRN itu untuk terus dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya mendapat mandat daripada rakyat.
Sementara itu, Hasni ketika mengumumkan nama calon-calon tersebut berkata MCA masih dalam proses memuktamadkan senarai calon kerana mahu memberikan yang terbaik kepada Johor.
Dalam senarai yang diumumkan itu, 10 penyandang kekal di kerusi masing-masing melibatkan lapan calon UMNO dan dua kerusi MIC.
Hasni sendiri akan mempertahankan kerusi DUN Benut manakala kerusi lain adalah Buloh Kasap, Sri Medan, Semarang, Pasir Raja, Parit Raja, Panti dan Tanjung Surat bagi UMNO serta Kahang dan Tenggaroh bagi MIC.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang tewas di kerusi Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 membuat kemunculan semula dengan diumum bertanding di kerusi DUN Rengit, sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang Ismail Mohamed dan bekas ADUN Layang-Layang Abd Mutalip Abd Rahim masing-masing akan bertanding di kerusi DUN Bukit Kepong dan Layang-Layang.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hasni berkata MCA diminta memberikan nama calon sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.
“Kita ada sasaran sebagai contoh calon wanita orang muda yang kita rasa begitu penting untuk diketengahkan bagi PRN kali ini. Maka MCA merasakan mereka perlu membuat sedikit sebanyak penelitian semula tentang calon yang hendak diketengahkan,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.
Mengulas mengenai ketiadaan kerusi kepada parti ‘Friends of BN’ dalam pilihan raya berkenaan, beliau berkata meskipun tidak bertanding, parti itu akan terus bergerak sebagai satu pasukan. – Bernama