
CAPE CANAVERAL, Amerika Syarikat: Blue Origin milik Jeff Bezos berjaya melancarkan roket New Glenn semalam bersama dua kapal angkasa NASA yang menuju ke Marikh, sambil mencatat pencapaian penting apabila penggalak roketnya berjaya didaratkan semula.
Pelancaran itu tertangguh beberapa hari akibat keadaan cuaca di Bumi dan di angkasa, namun penantian tersebut berbaloi.
Dalam penerbangan keduanya, Blue Origin berjaya mendapatkan semula penggalak untuk digunakan semula.
Sorakan gemuruh bergema di tapak pelancaran di Cape Canaveral, Florida, ketika penggalak itu mendarat dengan sempurna di atas platform terapung.
Sebelum ini, hanya SpaceX milik Elon Musk pernah berjaya melakukan manuver sedemikian menggunakan roket kelas orbit.

Kejayaan ini berhasil ketika persaingan antara dua syarikat angkasa milik bilionair berkenaan memuncak, selepas NASA membuka bidaan untuk misi Bulan yang dirancang.
“Memang sangat mengujakan!” kata Jared Isaacman sekutu Musk yang baru-baru ini sekali lagi dicalonkan oleh Presiden Donald Trump untuk mengetuai NASA di X sambil mengucapkan tahniah kepada Blue Origin.
Beberapa figura di SpaceX turut memuji pencapaian pesaing mereka, termasuk Musk sendiri: “Tahniah @JeffBezos dan pasukan @BlueOrigin!” katanya di X.
Pelancaran itu ditangguhkan beberapa kali, pada Ahad kerana cuaca di Bumi, dan pada Rabu kerana keadaan angkasa.
Penangguhan kedua berpunca daripada “aktiviti solar yang sangat meningkat” yang dibimbangi NASA boleh menjejaskan atau merosakkan kapal angkasanya.
Beberapa gangguan teknikal turut menyebabkan kelewatan semalam punca yang tidak diperincikan oleh Blue Origin. Namun pada 3.55 petang (2055 GMT), New Glenn akhirnya dilancarkan.
Roket setinggi 322 kaki (98 meter) itu kini membawa misi menghantar dua kapal angkasa kembar ESCAPADE milik NASA ke Marikh bagi mengkaji sejarah iklim Planet Merah sebagai usaha jangka panjang ke arah penerokaan manusia.

Sorakan sekali lagi bergema apabila kapal angkasa tersebut berjaya dilepaskan dari roket.
Joseph Westlake, ahli heliosains NASA, menerangkan dalam siaran langsung semalam bahawa dua kapal angkasa dinamakan ‘Blue’ dan ‘Gold’ itu pada peringkat awal akan memasuki “orbit parkir yang selamat dan stabil” untuk melakukan “pengukuran mengenai cuaca angkasa di Bumi.”
Kemudian, apabila Bumi dan Marikh mencapai penjajaran optimum pada musim luruh 2026, kapal-kapal angkasa itu akan menerima dorongan daripada graviti Bumi dan memulakan perjalanan ke Marikh, yang mana ia dijangka tiba pada 2027.
Jenis pelancaran sedemikian membolehkan lebih banyak misi pada masa hadapan kerana ia boleh dilakukan di luar tingkap penjajaran langsung Bumi–Marikh yang berlaku kira-kira sekali setiap dua tahun.
LANCAR, MENDARAT, ULANG
Penerbangan sulung New Glenn pada Januari turut dilabel berjaya, apabila muatannya mencapai orbit dan melaksanakan ujian dengan baik.
Namun, penggalak peringkat pertamanya yang direka untuk digunakan semula hilang ketika proses pendaratan.
Pencapaian semalam menandakan Blue Origin kini berada di landasan untuk mengurangkan kos dengan mengitar semula penggalak, bukan membiarkannya jatuh ke laut.
“Lancar, mendarat, ulang, ia bermula hari ini,” kata Eddie Seyffert, antara pengulas siaran langsung Blue Origin.
Kejayaan ini susulan ketika pentadbiran Presiden Donald Trump dalam penggal kedua sedang meningkatkan tekanan ke atas NASA untuk mempercepatkan usaha menghantar misi berawak ke Bulan dalam persaingan dengan China.
George Nield, seorang eksekutif aeroangkasa kanan yang mempromosikan industri angkasa komersial dan pernah terbang bersama Blue Origin memberitahu AFP bahawa pelancaran ini akan menjadi ‘penunjuk’ kemajuan syarikat tersebut.
Ia menunjukkan “sama ada mereka boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam penerokaan Bulan dalam tempoh terdekat,” katanya. – AFP