
KUALA LUMPUR: Filem aksi Blood Brothers: Bara Naga meraih kutipan pecah panggung RM9.2 juta dalam tempoh dua hari tayangan termasuk pratonton.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata kejayaan filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu mencerminkan minat penonton yang semakin meningkat terhadap filem tempatan selepas industri perfileman terjejas dek pandemik COVID-19.
“Jadi, kalau dilihat pada hujung minggu ini, kita anggarkan (kutipan) boleh tambah empat atau lima juta (ringgit). Jika trend ini berterusan, tidak mustahil kutipan filem ini mampu mengatasi kutipan filem Sheriff: Narko Intergriti yang mencatat RM60.5 juta pada tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Blood brothers: Bara Naga mengisahkan sekumpulan lelaki yang berkawan rapat bekerja dalam organisasi ‘keselamatan elit’, menyediakan perlindungan untuk orang berpengaruh dan ketua penjenayah, telah diuji apabila berlaku pengkhianatan dalam persaudaraan mereka.
Dibarisi pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, dan Amelia Henderson, filem ini ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 10 April lepas.
Beliau berkata kejayaan Blood Brothers: Bara Naga adalah hasil strategi promosi tersusun dan kerjasama erat antara pengedar, penerbit serta pawagam, selain minat penonton yang kembali menyokong filem tempatan.
“Dua minggu sebelum Aidilfitri, kita sudah berbincang dengan pihak pawagam untuk menarik penonton kembali ke pawagam. Alhamdulillah, kita lihat peningkatan ini bermula sejak slot Tahun Baharu Cina pada Februari lepas apabila dua filem tempatan berjaya menduduki carta teratas pecah panggung,” katanya.
Menurut beliau, Finas menyasarkan 40 hingga 50 peratus daripada pasaran pecah panggung tahun ini dikuasai oleh filem tempatan.
“Kita betul-betul sasarkan tahun ini melebihi pencapaian tahun lepas. Untuk itu, kita mengharapkan filem tempatan yang akan ditayangkan dalam masa terdekat ini mampu mencatat kutipan pecah panggung seperti Gayong, Keluang Man dan Ejen Ali The Movie 2,” katanya.
Selain itu, Azmir Saifuddin turut memuji inisiatif produksi filem Blood Brothers: Bara Naga dalam mempromosikan filem tersebut kepada masyarakat.
“Saya sokong usaha mereka menghasilkan treler dalam bentuk Lego menggunakan teknologi kecerdasan buatan, kerana kreativiti seperti ini mampu menarik minat penonton, terutama generasi muda,” katanya yang turut menyeru orang ramai terus menyokong filem tempatan yang kini menampilkan kualiti penceritaan dan produksi setanding filem antarabangsa.
Sementara itu, Pengerusi Skop Productions Sdn Bhd Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa syukur atas kejayaan filem arahan anaknya itu dan menyifatkan pencapaian tersebut sebuah perkembangan membanggakan buat industri perfileman negara.
“Saya bersyukur kepada Allah sebab dalam keadaan sekarang yang banyak cabaran, termasuk ekonomi, filem ini masih mencatat kutipan luar biasa. Saya pun tak sangka. Mudah-mudahan ini menjadi satu penanda aras kepada industri filem kita bahawa filem tempatan boleh menguasai pasaran,” katanya.
Beliau berkata kejayaan karya itu merupakan satu petanda positif bahawa penonton telah kembali ke pawagam dan filem tempatan mampu bersaing semula dengan filem antarabangsa.
Mengulas mengenai kekuatan filem itu, Yusof berkata setiap filem perlu menepati kehendak penonton, iaitu suatu cabaran yang sukar ditafsir.
“Ada yang berjaya dengan genre komedi, cinta atau seram, tetapi apa yang penting filem itu dekat dengan jiwa penonton. Saya dan anak, kalau buat filem, kami akan buat kajian untuk cuba faham emosi penonton, nak bawa mereka dalam cerita, nak main dengan perasaan mereka. Itu rahsianya tetapi itu pun bukan jaminan,” katanya. – Bernama