
Blaise Metreweli kini adalah Ketua Bahagian Q MI6, bertanggungjawab untuk teknologi dan inovasi.
LONDON: United Kingdom (UK) bersetuju melantik Blaise Metreweli sebagai wanita pertama yang akan mengetuai Perkhidmatan Risikan Rahsia (SIS) atau MI6, kata Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, semalam.
SIS atau lebih dikenali sebagai MI6 meraih populariti global melalui watak fiksyen James Bond ciptaan Ian Fleming.
Menurut kenyataan pejabat Downing Street milik Starmer, Metreweli akan menjadi ketua ke-18 agensi perisikan itu.
“Pelantikan bersejarah Metreweli hadir pada saat kerja-kerja perkhidmatan risikan kita amat penting.
“UK kini berdepan ancaman pada skala luar biasa, sama ada daripada pihak penceroboh yang menghantar kapal pengintip ke perairan kita, mahupun penggodam yang melancarkan serangan siber canggih untuk mengganggu perkhidmatan awam kita,” katanya.
Ketua MI6 merupakan satu-satunya individu yang dinamakan secara terbuka dalam organisasi itu dan melapor terus kepada Menteri Luar.
Individu yang menyandang jawatan itu dikenali sebagai ‘C’ bukan ‘M seperti dalam francais filem James Bond yang menampilkan watak wanita, dilakonkan oleh Judi Dench, sebagai Ketua Perkhidmatan Risikan.
Metreweli akan mengambil alih jawatan berkenaan daripada Ketua MI6 sekarang, Richard Moore, pada musim luruh ini.
Kenyataan itu memaklumkan, ketika ini, Metreweli adalah Pengarah Jeneral MI6 atau digelar sebagai ‘Q’ yang bertanggungjawab terhadap bidang teknologi dan inovasi dalam perkhidmatan itu.
Metreweli disifatkan sebagai pegawai risikan kerjaya yang menyertai perkhidmatan itu sejak 1999 selepas menamatkan pengajian dalam bidang antropologi di Universiti Cambridge.
Metreweli pernah memegang jawatan kanan dalam kedua-dua agensi MI6 dan perkhidmatan risikan dalam negeri MI5, selain banyak berkhidmat dalam tugasan operasi di Asia Barat dan Eropah.
Pelantikan itu dilakukan lebih tiga dekad selepas MI5 melantik wanita pertama sebagai ketua agensi terbabit.
Stella Rimington memegang jawatan itu dari 1992 hingga 1996, diikuti Eliza Manningham-Buller dari 2002 hingga 2007.
Sementara itu, agensi keselamatan siber dan perisikan komunikasi UK, GCHQ, turut melantik wanita pertama sebagai ketua pada 2023 iaitu Anne Keast-Butler. – AFP