
SIBU: Kejayaan cemerlang para atlet Taekwondo dari Kelab Taekwondo Bumi Kenyalang (BKTC) bukan sahaja mencerminkan pencapaian dalam sukan, malah menjadi asas penting dalam pembentukan sahsiah dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, atlet yang berjaya harus melihat kemenangan mereka sebagai satu perjalanan penuh pengajaran dan pembentukan karakter.
Katanya, walaupun kemenangan itu penting, semangat kesukanan serta usaha gigih mengejar kecemerlangan turut memainkan peranan besar dalam membentuk jati diri seseorang atlet.
“Semoga kejayaan ini menjadi permulaan untuk melonjak ke peringkat lebih tinggi sama ada di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa.
“Selagi kita terus bekerja keras, berusaha dan bersatu padu, atlet taekwondo kita pasti mampu mengharumkan nama kita,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Kaunselor Wong Hua semasa Malam Penghargaan BKTC yang berlangsung di sebuah restoran di sini, Jumaat lalu.
Beliau turut menegaskan bahawa taekwondo bukan sekadar sukan, malah merupakan seni pembentukan kendiri yang mengajar nilai seperti hormat, ketekunan, rendah hati dan daya tahan.
“Saya amat berbangga melihat atlet-atlet muda kita menampilkan nilai-nilai ini di atas pentas pertandingan, membuktikan bahawa masa depan berada di tangan generasi yang berdaya saing dan bersemangat tinggi,” katanya.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada para jurulatih atas usaha tanpa jemu, serta kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan padu.
“Di sebalik setiap kemenangan, terdapat kisah dedikasi. Terima kasih kepada para jurulatih atas bimbingan dan masa yang dicurahkan. Tidak lupa juga kepada ibu bapa yang sanggup berkorban demi kejayaan anak-anak, dari latihan awal pagi hingga saat-saat mencabar,” ujarnya.
Majlis penghargaan itu diadakan bagi meraikan kejayaan BKTC yang berjaya membawa pulang enam pingat emas, dua perak dan enam gangsa di Kejohanan Piala Taekwondo Antarabangsa Heros Ke-7 yang berlangsung di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Antara atlet yang mencuri tumpuan ialah jurulatih BKTC sendiri Wong Ing Sing yang meraih satu emas dan satu perak.
Crystal Sii Qing Wee turut menyerlah dengan satu pingat emas dan satu perak dalam kategori masing-masing.
Empat lagi pemenang pingat emas ialah Ting Foo Wei, Grace Yong Yin Xing, Angel Law Xin Yu dan Nur Fathia Naazreen Mohamad Fadillah.
Sementara itu, pemenang pingat gangsa termasuk Foo Wei, Marcus Ting, John Yong, Darwisy Hakim Muhammad Noor Zaidee, Octavianne Nicley Landan Nicholas dan Jarren Yong.
Selain itu, Penasihat BKTC yang juga Penasihat Kesatuan Taekwondo Asia (ATU) Dato Sri Lau Kueng Chai berkata, pencapaian ini membuktikan keupayaan kelab menghasilkan atlet berkualiti.
Beliau turut mengingatkan pemain muda agar terus berlatih dengan lebih gigih sebagai persediaan awal menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
“Bersedialah dan mari kita berusaha memastikan kita kekal sebagai kuasa besar taekwondo dalam SUKMA akan datang,” katanya.
Lau juga menegaskan bahawa kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sumbangan para jurulatih dan sokongan padu daripada ibu bapa.
“Tanpa sokongan ibu bapa dan ketahanan mental serta fizikal daripada jurulatih, kita tidak akan berada di tahap ini,” tambahnya.
Turut hadir Penasihat Teknikal Persatuan Taekwondo Malaysia Mohd Abdullah Hakim serta tetamu jemputan lain.
Oleh Tarani Lanting