KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk melaksanakan tiga langkah untuk membantu para perusahaan dan perniagaan dalam tempoh peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 yang baharu dilancarkan semalam.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah pertama ialah bantuan kewangan secara sekali sahaja (one-off) khas RM10,000 kepada perniagaan yang berdaftar di Sarawak dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) .
Katanya, beliau telah menerima permintaan daripada persatuan perniagaan dan persekutuan untuk mendapatkan bantuan kewangan untuk mengekalkan perniagaan terutama untuk menampung kos operasi, termasuk sewa dan upah pekerja mereka terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Justeru, Kerajaan Sarawak akan memberikan bantuan kewangan khas sekali sebanyak RM10,000 untuk perniagaan aktif di Sarawak yang berdaftar dengan PERKESO pada 31 Disember 2020.
“Langkah ini akan membantu meringankan beban kewangan kira-kira 40,000 perniagaan aktif di Sarawak yang akan menanggung perbelanjaan langsung Kerajaan lebih daripada RM400 juta.
“Bantuan kewangan khas ini akan dibayar dalam dua bahagian, RM5,000 pada September dan baki RM5,000 akan dibayar pada Disember 2021,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) secara langsung di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semalam.
Oleh JEAKQLEYN YACHO