ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 3.0 bernilai sejumlah RM300 juta semalam, merangkumi tujuh langkah tambahan yang lebih inklusif untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pakej ketiga ini adalah sebagai tambahan kepada BKSS 1.0 yang diumumkan pada 23 Mac dan BKSS 2.0 pada 10 April lalu, dengan kedua-dua pakej berjumlah RM2.25 bilion yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan rakyat, para peniaga dan industri akibat wabak Covid-19.
“Langkah pertama adalah insentif RM1,500 untuk ketua isi rumah B40 yang tidak tersenarai dalam BKSS 1.0 dan untuk bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM2,000 sebulan dan ke bawah di Sarawak akan menerima bayaran RM500 sekali gus.
“Kedua adalah tambahan geran khas sebanyak RM750 kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan melalui Sarawak Pay, ia adalah sebagai tambahan kepada geran RM1,500 dalam BKSS 2.0,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media khas pengumuman Pakej BKSS 3.0 bertempat di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
Menurutnya, langkah ketiga adalah elaun bulanan khas petugas barisan hadapan yang menangani wabak Covid-19 di Sarawak iaitu kakitangan perubatan, Imigresen, Polis Diraja Malaysia, petugas Bilik Gerakan Negeri, Angkatan Tentera Malaysia dan anggota RELA sebagai penghargaan atas sumbangan pengorbanan mereka.
“Manakala langkah keempat adalah insentif untuk pemilik dan pengendali penambang yang berdaftar dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB) dengan bantuan tunai secara sekali sebanyak RM500 yang memanfaatkan 199 orang.
“Langkah seterusnya insentif untuk pengendali van penumpang, pemandu teksi, pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di Sarawak iaitu bantuan kewangan sekali sebanyak RM600 kepada 959 pengendali van, 1,976 pemandu teksi dan 739 pengendali bas dan van sekolah,” jelasnya.
Sementara itu, katanya langkah keenam adalah pemberian geran khas kepada 145 pemandu pelancong dan 113 pemandu pelancong taman negara yang berlesen dengan bantuan sekali sebanyak RM1,500 untuk yang berdaftar di Sarawak.
“Langkah ketujuh adalah Kerajaan Negeri mewujudkan perkhidmatan cawangan bank bergerak Bank Barisan Nasional (BSN) yang dilengkapi dengan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang menggunakan rangkaian Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) ke kawasan luar bandar,” tambahnya.
Abang Johari berkata, BKSS 3.0 akan melibatkan suntikan dana berjumlah RM300 juta kepada ekonomi Sarawak merupakan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sepenuhnya.
“Secara keseluruhannya, jumlah suntikan dana kepada ekonomi Sarawak melalui tiga BKSS pada 2020 adalah berjumlah RM2.55 bilion iaitu melalui BKSS 1.0 berjumlah RM1.15 bilion, BKSS 2.0 (RM1.11 bilion) dan BKSS 3.0 berjumlah RM0.30 bilion.
“Saya berharap pakej BKSS 3.0 ini dapat meringankan beban kewangan rakyat dan para peniaga yang terkesan akibat wabak ini dalam keadaan yang sukar sekarang saya juga berharap bantuan ini dapat membantu memulihkan ekonomi kita dan dapat menyediakan landasan yang kukuh untuk terus makmur pada masa hadapan,” katanya lagi.