Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • BKK bukti kerajaan terus hargai sumbangan penjawat awam
  • NASIONAL

BKK bukti kerajaan terus hargai sumbangan penjawat awam

Utusan Sarawak 3 hours ago
TINJAUAN Bernama mendapati orang ramai sudah mula beratur sepanjang lebih 50 meter seawal 7.00 pagi bagi menukar duit raya di sebuah bank di bandar Jertih di sini. Orang ramai sanggup berdiri lama dalam barisan panjang untuk menukar wang not RM1, RM5 dan RM10 yang disediakan bank tersebut walaupun bank tersebut dibuka 9.30 pagi. Seorang penjawat awam Asmanawawi Othman, 38, mengambil cuti untuk menukar duit raya dan dia beratur bermula 8.30 pagi dan sehingga 11.00 pagi beliau masih berbaris. Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah yang disalurkan hari ini membuktikan kerajaan terus menghargai sumbangan golongan itu biarpun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Di PUTRAJAYA, Penolong Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Tinggi Zairul Azwan Zainal berkata walaupun ada pihak memperlekehkan jumlah bantuan itu, namun nilainya cukup besar kepada kebanyakan penjawat awam.

“Bantuan ini membantu meringankan beban, kos dan bajet untuk sambutan hari raya tahun ini. Tambahan pula, hari raya ini tidak lama selepas anak-anak mula bersekolah awal Januari lepas.

“Pesanan saya kepada rakan penjawat awam yang lain, terus berhemat dalam perbelanjaan raya tahun ini. Belanja apa perlu, bersesuaian dengan pesan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat dapat berjimat cermat, lebih-lebih lagi dengan kesan konflik di Asia Barat baru-baru ini,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Penilaian di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Syakira Mansor, 42, berkata walaupun persiapan raya untuk keluarga telah disediakan lebih awal, BKK akan dimanfaatkan sebagai belanja tambahan untuk duit raya buat ahli keluarga lain.

“Persiapan raya sudah sedia, jadi saya boleh tambah bajet duit raya untuk ahli keluarga. Biasanya saya sediakan antara RM1,000 hingga RM2,000 untuk duit raya dan saya jenis menyimpan awal khas untuk duit raya keluarga dan anak-anak saudara,” katanya. 

Di TERENGGANU, Siti Jamilah Hanim Jamil, 42, berkata dia sememangnya menunggu bantuan yang diterima hari ini untuk membeli kelengkapan hari raya buat lima anaknya yang berusia empat hingga 15 tahun.

Penerbit Rancangan di Jabatan Penyiaran Terengganu itu juga bersyukur kerana kerajaan turut menyalurkan bantuan itu kepada kakitangan kontrak sepertinya.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan bantuan ini. Baru hari ini saya sempat bawa anak-anak keluar mencari keperluan hari raya kerana sebarang persiapan pun saya belum buat lagi,” katanya.

Beliau yang berasal dari Kemaman berkata selain kekangan tugas, dia juga tidak melakukan sebarang persiapan sempena Aidilfitri kerana pendapatannya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan dan komitmen bulanan.

Sementara itu di PAHANG, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Tanah Rata, Tuan Sharifah Shahaini Tuan Dagang, 51, berkata BKK yang diterima akan dimanfaatkan bagi menampung perbelanjaan perjalanan pulang ke kampung di Lipis dan Kuantan bagi menyambut Aidilfitri.

Bagi Personel MySTEP di Jabatan Perangkaan Pahang Siti Zakiyah Ahmad Dzaki, 38, pula BKK akan digunakan untuk membeli keperluan makanan, menyediakan duit raya serta menampung kos perjalanan pulang ke kampung di Keratong. 

Pemberian BKK diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lepas. 

Selain penjawat awam, BKK turut disalurkan kepada pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen dengan bayaran RM250.

Di IBU NEGARA, seorangpenjawat awam Grace Aisyah Humairah, 35, menyifatkan BKK sebagai ‘talian hayat’ ketika rakyat berhadapan cabaran kos sara hidup termasuk persediaan musim perayaan.

Bagi anggota polis Risal Kiraman, 41, BKK dapat membantu penjawat awam berpendapatan rendah terutama yang tinggal di ibu kota menampung perbelanjaan seperti membayar bil dan kos pengangkutan di samping memberi suntikan moral kepada mereka untuk lebih bersemangat berkerja. 

Di PERAK, penjawat awam Noorshahana Kamaruddin, 38, berkata bantuan itu bukan sahaja membantu dari segi kewangan bahkan menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam tempoh tepat ketika rakyat sedang membuat persiapan menyambut hari raya.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan pemberian ini yang akan digunakan untuk membeli keperluan dapur, pakaian hari raya untuk anak dan juga sedikit persiapan lain,” katanya.

Sementara itu, pesara Abd Rasid Lamak, 61, meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak pernah lupa menghargai pesara setiap kali bantuan disalurkan. 

Di KEDAH, seorang kakitangan Jabatan Pertanian Kedah Mohd Farid Ahmad, 39, menyifatkan  kerajaan tidak putus-putus menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan berharap ia akan diteruskan kerana terbukti mampu menyerap kos sara hidup yang semakin tinggi.

Di JOHOR, pembantu penerangan Mohd Zahairi Ahmad Zabidi, 41, berkata BKK akan digunakan bagi menampung kos perjalanan pulang ke kampung halamannya di Kepala Batas, Pulau Pinang kerana perjalanan dari Mersing memerlukan perbelanjaan tinggi terutamanya kos penyelenggaraan, petrol dan tol, lebih-lebih lagi ketika berdepan kesesakan jalan raya.

Sementara itu di SABAH, seorang kakitangan Jabatan Imigeresen Sabah Sunardy Sofian, 48, berkata pemberian BKK oleh Kerajaan MADANI termasuk gaji pada bulan ini yang turut diawalkan amat meringankan beban menjelang Aidilfitri.

Bagi Pegawai Kastam Kiasman Karim, 38, bantuan itu pula akan digunakan untuk membantu ibu bapanya dan berharap bantuan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Di SARAWAK,  pesara Jabatan Tanah dan Survey, Salihin Mahsen, 61, melahirkan rasa syukur kerana menjelang hari raya perbelanjaan akan bertambah dan pemberian BKK amat bertepatan pada masanya.

Seorang kakitangan di Kementerian Pendidikan Rezduan Zaini, 37, berkata BKK secara langsung menunjukkan usaha dan pengorbanan penjawat awam dalam menjalankan tugas sentiasa dihargai oleh kerajaan.

“Dengan keadaan harga barang yang semakin mencabar sekarang, bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu kami membuat persiapan raya, terutama bagi yang mempunyai anak-anak kecil untuk membeli baju raya dan barang dapur,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: 18 pelaut Malaysia masih bertugas di zon konflik  Asia Barat
Next: Wisma Putra  sahkan 70 jemaah Malaysia selamat dalam kebakaran hotel di Makkah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.