GEDONG: Sarawak tidak lagi perlu untuk mengimport beras sekiranya berjaya mencapai sasaran pengeluaran 240,000 tan padi setahun menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sekiranya Sarawak berjaya menghasilkan lebih daripada 240,000 tan, maka Sarawak akan mengeksport beras tersebut ditambah dengan industri hiliran beras.
Katanya, pengeluaran padi ini akan menggunakan kaedah dan teknologi baharu sehingga dapat mengeluarkan sembilan tan beras dalam sehektar tanaman padi yang akan mengeluarkan hasil secara lima musim dalam masa 24 bulan.
“Jadi, ini semua cara baharu dan kalau padi kita bertambah, kita jualkan beras kita melalui cara kita iaitu menggunakan perkhidmatan bank yang merupakan cara baharu.
“Kini, Sarawak hanya memerlukan 240,000 tan padi dan sekiranya dapat melaksanakan sasaran tersebut maka kita tidak perlu import beras lagi. Kalau tidak, kita hanya bergantung kepada beras import Vietnam dan India.
“Kalau beras kita ada lagi lebih, kita pergilah ke industri hiliran beras termasuklah penghasilan tepung beras di mana kita dapat menghasilkan makanan seperti biskut yang akan menggunakan bank untuk orang ramai membeli biskut ‘Made in Gedong’,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Digital Desa Bank Rakyat 2025 Gedong di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini hari ini.
Sementara itu dalam sidang media kemudian, Abang Johari berkata Sarawak kini masih mengenal pasti kawasan yang diperlukan untuk projek penanaman padi yang melibatkan 14,000 hektar tanah untuk mencapai sasaran pengeluaran 240,000 tan beras.
Jelasnya, kerajaan Sarawak kini akan memberi fokus sepenuhnya untuk mendidik petani menggunakan kaedah dan teknologi baharu termasuk pembelian mesin-mesin yang akan disewakan kepada petani.
Beliau berkata projek penanaman padi ini telah dimulakan di Lubok Punggor, Gedong, Bintangor di Meradong dan Kampung Kuala Rajang yang dimiliki oleh petani kecil dengan kerajaan Sarawak bekerjasama untuk melatih mereka menggunakan mesin pertanian.