
KARYA sajak merupakan sebuah pengolahan yang berteraskan renungan batin dan kepekaan naluri individu penulis selepas diusik oleh bisik angin kehidupan sekitarnya.
Ruang sunyi dalam kehidupan penulis selalunya menghadirkan introspektif seputar dirinya selepas mendengar suara hati untuk memahami erti kehidupan dengan lebih mendalam.
Justeru dalam diam, manusia mudah belajar mendengar dan menerima. Oleh itu, sajak yang ditulis pun lahir daripada bisikan rasa atau akal yang tersembunyi dari dalam diri penulis.
Penulisan sajak juga lazimnya bersumber daripada hubungan antara manusia dengan alam sebagai wadah untuk muhasabah diri. Justeru, alam sering menjadi bahasa yang benar dan jujur. Dalam suasana sunyi dan tenang, penulis lebih peduli terhadap persekitaran dan perasaan dalamannya.
Bisikan angin kehidupan yang hadir dalam sajak bukan sekadar unsur alam, sebaliknya merupakan sebuah metafora terhadap peristiwa, kenangan, harapan serta perasaan yang tidak terungkap dalam untaian kata-kata.
Sunyi yang diketengahkan dalam penulisan sajak bukanlah satu kekosongan, tetapi ruang atau momen penulis menemukan sesuatu dalam kehidupannya.
Maka, karya sajak menampilkan penulisan yang bersifat introspektif dan simbolik bagi menyuratkan yang tersirat sepertimana kata Sasterawan Negara Usman Awang bahawa puisi tidak perlu berteriak untuk didengari; ia cukup berbisik untuk difahami.
Justeru, nilai estetika sesebuah sajak ada pada kelembutan bahasa dan makna tersirat seperti bisikan angin dalam sunyi.
Pun demikian, penyair sufi Parsi, Jalaluddin Muhammad Rumi pernah menyatakan bahawa “Silence is the language of God, all else is poor translation.” atau tafsirannya, kesunyian ialah bahasa Tuhan, segala yang lain hanyalah terjemahan yang lemah.
Justeru, kesunyian ialah saat paling jujur untuk memahami kebenaran dan suara hati yang berbisik.
Oleh itu, syabas dan tahniah kepada Rawjie, Mirza Syazani dan Nurul Asyikin yang telah berusaha menukilkan gema sunyi jiwa masing-masing kepada khalayak pembaca. Sajak mereka telah disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), akhbar Utusan Sarawak pada hari Khamis yang lepas.
Sajak-sajak yang digarap oleh mereka jelas begitu intim dengan soal-soal perasaan dan pemikiran yang merupakan sebuah perkongsian pengalaman serta pengamatan kendiri.
Semua sajak tersebut seperti berusaha menyuarakan bisik angin di telinga sunyi masing-masing. Semoga nilai-nilai alamiah yang ditaakul tersebut dapat memaknakan sesuatu pada tamsilan pembacanya.
Sajak “Origami” oleh Rawjie menarik dibaca dan ditamsil. Penulis bijak memilih origami sebagai simbol utama dalam menghuraikan setiap persoalan dalam sajak ini.
Origami ialah seni melipat kertas yang berasal dari Jepun (walaupun tekniknya berasal dari China). “Ori” bermaksud melipat dan “kami” (gami) bermaksud kertas, melibatkan transformasi sekeping kertas menjadi bentuk tiga dimensi yang kompleks seperti haiwan, tumbuhan atau hiasan tanpa menggunakan gam atau gunting, memerlukan ketelitian dan imaginasi.
Pendekatan ini menjadikan sajak awal penulis sudah menemukan kematangan dalam menulis sajak yang berwibawa. Sajak ini memiliki kekuatan tema kemanusiaan dan sosial yang ampuh, tetapi gagal mencapai kesempurnaan identiti akibat paksaan dan peniruan.
Penulis mengkritik tentang bentuk tantangan kehidupan yang ingin dipilih oleh mereka yang telah didominasi oleh pihak tertentu.
Dalam rangkap pertama, kertas dilipat mengikut gaya barat hingga terbentuk seekor burung. Pemilihan simbol ini sesuai bagi mewakili gaya barat kerana kuasa besar barat seperti amerika syarikat memilih burung helang botak (bald eagle) sebagai simbol negaranya.
Burung ini dipilih kerana melambangkan kekuatan, kebebasan dan kehebatan negara sejak tahun 1782 dan sering muncul pada meterai, wang kertas dan bangunan kerajaan. Namun dalam sajak ini, burung origami tidak dapat terbang kerana “tidak lengkap tanpa bulu pelepah”.
Akibat ketidaksempurnaan itu, lipatan dibuka semula, menandakan penolakan terhadap bentuk yang tidak serasi dengan hakikat diri. Misalnya;
Asalnya sekeping kertas
dilipat mengikut gaya barat
terbentuk seekor burung
namun ia enggan terbang
tidak lengkap tanpa bulu pelepah
lalu lipatan dibuka semula
(rangkap 1, sajak “Origami”)
Menerusi rangkap kedua pula memperlihatkan percubaan lain melalui gaya timur yang membentuk sekuntum bunga.
Pemilihan simbol ini juga sesuai bagi menggambarkan gaya timur kerana negara timur seperti Jepun telah memilih bunga sakura (cherry blossom) sebagai simbol kebangsaan dan budaya Jepun yang sangat penting bagi melambangkan keindahan, kehidupan, kematian, pembaharuan dan sifat sementara sesuatu yang indah.
Nama Sakura diambil daripada perkataan bahasa Jepun iaitu “Saku” yang bermaksud berbunga atau senyuman. Walaupun bunga origami melambangkan keindahan dan kelembutan, ia tetap gagal menarik kumbang kerana “tidak sempurna tanpa aroma”.
Hal ini menegaskan bahawa keindahan luaran tanpa jiwa atau inti makna tetap tidak bernilai. Sekali lagi, lipatan dibuka dan kertas terus menanggung kesan kerosakan.
Misalnya;
Dari kertas menanggung jejas
dilipat pula gaya timur
terbentuk sekuntum bunga
namun kumbang enggan singgah
tidak sempurna tanpa aroma
lalu lipatan dibuka semula
(rangkap 2, sajak “Origami”)
Manakala dalam rangkap akhir sajak, penulis membawa kemuncak konflik sajak. Kertas yang kini “kian parah” menjadi mangsa “tangan-tangan gagah yang enggan dipersalah”.
Frasa ini menyindir kuasa atau pihak yang memaksakan kehendak tanpa bertanggungjawab terhadap kesannya. Demi maruah dan untuk menelan segala tohmah, kertas origami terus dilipat sehingga akhirnya “menjadi seni yang punah”.
Seni di sini tidak lagi membawa keindahan atau makna, sebaliknya menjadi lambang kemusnahan akibat paksaan, kepura-puraan dan manipulasi berterusan.
Misalnya;
Kini tubuhnya kian parah
bahana tangan-tangan gagah
yang enggan dipersalah
dilipatlah ia demi maruah
menelan segala tohmah
menjadi seni yang punah
(rangkap 3, sajak “Origami”)
Sajak Origami berbentuk bebas dan dibina dalam tiga buah rangkap yang sederhana panjangnya. Gaya bahasa sajak lugas dan padat, pemilihan kata ringkas tetapi sarat makna dan simbolik.
Cuma jalinan rangkap akhir sajak kurang kemas dan mengejutkan persoalan-persoalan yang digarapkan. Misalnya, peralihan daripada simbol seni origami kepada kritikan berupa “tangan-tangan gagah” berlaku agak mendadak, menyebabkan jalinan kesan kemuncak terasa kurang rapi apabila ditautkan dengan rangkap sajak sebelumnya.
Sekadar saranan, penulis boleh menggantikan larik kata bergaris “Kini tubuhnya kian parah” diganti kepada “Kini kertas kian rapuh” sebagai mengekalkan simbol dan sifat kertas yang diguna ulang pada rangkap satu dan dua sebelumnya.
Walau bagaimanapun, sajak ini mempunyai kelainan atau keistimewaan yang khas kerana penulis begitu yakin mengolah sajak dengan menggunakan simbol origami sebagai kritik sosial.
Sekalipun tata pengolahannya belum tuntas tapi pendekatan ini suatu yang menarik dalam menulis sajak. Syabas kepada penulis!
Sajak “Taklif di Lidah Lelaki” oleh Mirza Syazani bertemakan tanggungjawab lelaki sebagai khalifah rumah tangga. Pada keseluruhan sajak ini, penulis menghuraikan sikap lelaki yang melayakkannya untuk menanggung beban amanah lafaz talak ke atas isteri yang nusyuz.
Dalam rangkap pertama sajak, penulis menghuraikan sikap dan akhlak lelaki berhemah yang boleh diteladani.
Misalnya;
Lelaki biasanya bukan celupar,
Fikirnya hadir sebelum melontar
Kata terbit bukan sembarangan,
Ditimbang akal sebelum diujar.
(rangkap 1, sajak “Taklif di Lidah Lelaki”)
Manakala pada rangkap kedua sajak, penulis menekankan kewibawaan lelaki yang dituntut untuk berfikir dengan akal dan berhati-hati sebelum membuat keputusan, selaras dengan amanah dan taklif yang dipikulnya. Misalnya;
Kerana talak bukan pada wanita,
Jika tidak berderet duda di dunia
Taklif di bahu ketua keluarga,
Lelaki berhati sebelum berkata.
(rangkap 2, sajak “Taklif di Lidah Lelaki”)
Pemilihan kata dalam sajak ini agak langsung dan tidak berlapis makna bagi mengungkapkan persoalan demi persoalan yang hendak diolah.
Sajak ini juga berbentuk bebas dan dibina daripada dua rangkap yang ringkas bagi menyatakan persoalan yang ada.
Gaya bahasa sajak masih memerlukan penelitian yang lebih ralit agar penyampaian ungkapannya lebih indah dan tuntas. Justeru penggunaan unsur-unsur persajakan seperti metafora, perlambangan, personifikasi dan lain-lainnya perlu digarap bagi memaknakan baris sajak agar tidak polos dan telus.
Selain itu, ejaan kata “celupar” pada larik pertama sajak adalah salah, yang betulnya ialah “celopar”. Bagi sajak yang pendek sebegini, diharap penulis bersikap lebih teliti terhadap ejaan kata yang dipilih kerana penulis yang bertanggungjawab akan memastikan kesilapan ini diambil peduli.
Sajak bukanlah karya prosa yang berjela seperti cerpen dan novel, maka penulis sajak wajar bersikap lebih cermat terhadap ejaan kata yang digunakannya.
Sajak merupakan sebuah karya seni aksara, maka wajar penulis ambil peduli tentang sifat sajak yang estetik. Mesej dalam sajak ini telah disampaikan dengan baik tapi nada sajak terlalu didaktik seperti berkhutbah.
Keindahan sajak biasanya lebih terserlah apabila mesej disiratkan melalui imejan, bukan dinyatakan secara terus terang. Kesannya, pembaca hanya menikmati sebuah ungkapan kata yang berangkap.
Pembentukan idea dalam sajak ini seperti satu hala, tidak berliku untuk diterokai perasaan dan pemikiran pembaca. Semua rangkap mengarah pada satu pandangan tanpa konflik, persoalan atau paradoks.
Sajak akan lebih menarik apabila ada ketegangan emosi atau percanggahan yang halus. Pembaca memahami pesan sajak, tetapi kurang tidak menikmatinya kerana tiada kesan emosi yang digambarkan.
Penulis juga wajar memerikan sesuatu yang lebih menggugah bagi menggambarkan peribadi dan akhlak lelaki yang berani menanggung taklif.
Setidak-tidaknya garaplah sebuah pemikiran tentang sosok lelaki yang berteraskan keimanan, ketauhidan dan kasih sayang maskulin. Barangkali mengaitkan dengan tokoh tertentu boleh memperkukuhkan kredibiliti lelaki yang dimaksudkan dalam sajak ini.
Justeru tokoh lelaki dalam sajak ini sangat berkarisma dan dikagumi bagi menyedarkan suami-suami yang kurang bertanggungjawab di luar sana.
Terakhirnya ialah sajak “Ruang Melankolis” oleh Nurul Asyikin, sebuah sajak yang bertemakan kesedihan merindu. Pada keseluruhan rangkap sajak, penulis hanyut dalam arus kehibaan yang rawan.
Dalam rangkap pertama, digambarkan suasana batin penulis yang larut dalam imbauan lama selepas kehilangan seseorang. Ruang yang digambarkan bukan sekadar fizikal, tetapi ruang emosi yang kelam, sunyi dan penuh kenangan.
Misalnya;
Ruang melankolis
lampu samar-samar
kotak nostalgia fikiran berlayar
(rangkap 1, sajak “Ruang Melankolis”)
Manakala dalam rangkap sajak seterusnya, penulis kian terpuruk dalam kenestapaan kisah yang tidak terlupakan apabila mengingat semula tentang dia yang sudah tiada. Larik-larik dalam rangkap ini seolah-olah penulis mahu menegaskan kesakitan emosi yang mendalam dan tragis akibat kehilangan.
Misalnya;
Sekali lagi mengingat pada yang telah tiada
jarum menggesek pita
lagu yang mengenang kita
memori lalu yang menggigit jiwa
tragis.
(rangkap 2, sajak “Ruang Melankolis”)
Pada rangkap akhir sajak pula, penulis seperti berusaha untuk menyedari keterbatasan fitrah manusia.
Keinginan untuk mengembalikan masa dan kenangan tidak mampu direalisasikan kerana segalanya tertakluk kepada “kehendak Yang Esa” dan tiada yang magis dapat menghalangnya.
Kesedaran ini membawa unsur redha dan akur terhadap takdir yang telah ditetapkan. Hal ini juga telah memberi dimensi falsafah dan kerohanian pada sajak.
Misalnya;
kalau saja dapat kembalikan semua
memori dan masa
tapi bukanlah kudrat siapapun
melawan kehendak yang Esa
bahkan bukan magis.
(rangkap 3, sajak “Ruang Melankolis”)
Bentuk sajak ini bebas dan dibina daripada tiga buah rangkap yang sederhana panjangnya bagi menyatakan taakulan penulis terhadap kesedihannya. Gaya bahasa sajak ini masih memerlukan penelitian semula agar makna kata sajak lebih tertata unsur pengolahannya.
Pemilihan kata sajak agak langsung walaupun penulis cenderung menyimpul rangkap sajak dengan fasa kesedihan yang dialami. Penulis masih perlu lebih mahir untuk memanipulasi kata yang lebih tuntas maknanya pada tema dan persoalan sajak.
Oleh itu, sangat digalakkan agar penulis mahu membaca sajak-sajak penulis mapan yang diminati agar penulis dapat menemukan proses pengolahan sajak yang lebih terampil ungkapannya.
Pertautan persoalan dari rangkap ke rangkap sajak tersusun dan teratur. Suasana emosi melankolik penulis konsisten.
Nada sayu, rindu dan pasrah dikekalkan dari rangkap awal hingga akhir, menjadikan sajak ini harmoni dan tidak bercelaru runtunannya. Cuma penulis perlu lebih teliti terhadap pemilihan kata yang digunakan.
Misalnya, kata “nostalgis” tidak ditemukan maknanya dalam Kamus Dewan. Jika kata “nostalgik”, ada. Kesilapan ini telah mengganggu pemaknaan kata dalam sajak.
Oleh itu disarankan agar penulis tidak berwenang menggunakan kata yang mengikut sesedap rimanya. Justeru pemilihan kata tanpa makna adalah sia-sia dalam penulisan sajak.
Selain itu, jalinan imejan dan metafora dalam rangkap sajak juga perlu diperhatikan dan diperkukuhkan jalur maknanya. Misalnya pada larik awal sajak, “lampu samar-samar/kotak nostalgia fikiran berlayar”.
Penulis boleh sahaja memperkukuh imejan lampu dengan penggunaan unsur metafora, misalnya “lampu ingatan samar-samar”.
Kemudian penggunaan unsur metafora “kotak nostalgia” dimurnikan dengan unsur personifikasi seperti “kotak nostalgia menyimpan kepingan rindu”.
Pengulangan perasaan sedih tanpa lonjakan konflik menjadikan nuansa sajak terasa statik. Maka, disarankan agar penulis mahu memberi makna menerusi perkembangan lain seperti memperlihatkan sisi melankolik yang lebih terbuka.
Penulis boleh menambah spesifikasi pengalaman yang lebih mendominasi dan memperhalusi runtunan emosi agar sajak terasa lebih mendalam dan berbekas.
Semoga dengan teguran dan saranan yang ada, penulis dapat memahami apa yang mahu disampaikan dengan berlapang rasa dan tanggapan.
Sikap keterbukaan terhadap karya yang dikhalayakkan merupakan karisma penulis yang matang dan berhemah.
Rumusnya, ketiga-tiga buah sajak yang dibicarakan tadi masih mempunyai kriteria sajak yang baik dan menarik ditaakul oleh pembaca.
Sajak-sajak tersebut seperti dicetuskan oleh bisik angin di telinga sunyi kerana semuanya berkisah kehidupan yang manusiawi dengan perenungan dalam penulisnya.
Oleh itu, potensi dan keyakinan seperti Rawjie, Mirza Syazani dan Nurul Asyikin dalam menulis sajak wajar diberikan ruang dan peluang yang lebih khusus pendedahannya.
Justeru mereka telah memperlihatkan nilai kepenyairan diri yang menjanjikan, terutamanya Rawjie yang telah mengolah sajak dengan imejan yang menarik.
Mudah-mudahan sikap positif teguh menjejaki diri ke jalan kritik yang lebih membina dan terbuka. Syabas dan sukses, selalu!
Oleh Rosani Hiplee