
KABONG: Biro Wanita berupaya memainkan peranan penting di sesebuah rumah panjang bagi memastikan manfaat dapat dinikmati oleh semua penduduk, khususnya golongan wanita.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, peranan Biro Wanita kini semakin signifikan dalam menggerakkan golongan itu untuk terus maju selaras dengan arus pemodenan dan perubahan zaman.

Katanya, Biro Wanita bukan sahaja menguruskan kegiatan harian wanita, malah menjadi platform memperkasa ekonomi melalui pelbagai bidang seperti kraf tangan, pertanian, penghasilan produk makanan serta aktiviti keusahawanan lain yang mampu meningkatkan sosioekonomi keluarga.
“Untuk mencapai kecemerlangan, kerjasama dan kesepakatan semua ahli di bawah satu payung biro amat penting. Idea dan cadangan bersama perlu dimanfaatkan sebagai landasan terbaik memajukan semua ahli,” katanya.
Beliau menegaskan, Biro Wanita merupakan elemen penting yang turut membantu peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada dalam pembangunan komuniti.

Chee Kadir berkata demikian ketika hadir bersama isteri, Datin Meryani Yassin, menyantuni tiga Biro Wanita di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, hari ini.
Tiga biro yang terlibat ialah Biro Wanita Rumah Edwin, Bukit Pantar, Biro Wanita Rumah Julai Menggeris dan Biro Wanita Sungai Rumput Rumah Jemeni, Sungai Rumput.
Pada sesi tersebut, setiap biro menerima sumbangan RM3,000 sebagai dana melaksanakan pelbagai aktiviti yang dirancang, khususnya program pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan.
Pada masa sama, pelbagai hasil kraftangan kreatif keluaran ahli-ahli biro wanita turut dipamer dan dijual kepada orang ramai sebagai inisiatif menjana pendapatan dan memperkasa ekonomi komuniti setempat.
Chee Kadir berharap dana yang disalurkan dapat diurus secara berhemah dan dimanfaatkan sepenuhnya agar memberi faedah berterusan kepada ahli-ahli biro wanita, selain usaha ini terus diperkasakan demi kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Beliau turut mengambil kesempatan meninjau perkembangan beberapa projek pembangunan yang dilaksanakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) di kawasan terlibat.
Oleh Adi Safarman