
KOTA BHARU: Kerajaan Sarawak menerusi Biro Pendidikan Islam Sarawak menyalurkan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi pembinaan asrama pelajar lelaki Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana tersebut sebagai usaha bersama menyediakan infrastruktur yang baik kepada institut tersebut yang terletak di negeri Kelantan.
“Kita mempunyai asrama yang baik untuk penuntut perempuan dan kita hendaklah kita membangunkan asrama yang baharu dan selamat untuk pelajar lelaki.
“Kita juga akan membangunkan semula asrama ini di bawah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kelantan dan Biro Pendidikan Islam Sarawak menyumbang RM1 juta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Kali ke-29 IDIP di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak (KIJP), Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan menambah, pendidikan merupakan asas utama dalam membangunkan ummah, khususnya dalam melahirkan generasi berilmu dengan pendekatan Islam yang bersifat universal.
“Kerja dakwah ini adalah bersifat sukarela dan semangat kesukarelawanan amat penting dalam usaha membangunkan masyarakat, khususnya masyarakat Islam. Pendekatan yang digunakan hendaklah menyeluruh dan inklusif. Apa yang penting ialah membangunkan keperibadian Islam supaya pemikirannya terbuka dan mampu merangkumi semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut memperuntukkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada PERKIM Kelantan.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan, Tengku Puan Temenggong Kelantan merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan Dato Dr Mohamad Marzuki Mohamad Omar serta yang lain.
-UKAS