
BINTULU: Bintulu bakal menjadi tumpuan seni budaya serantau apabila Citra Tari Nusantara 2025 (CTN2025) berlangsung di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) dari 19 hingga 25 September ini.
Acara berprestij itu dianjurkan oleh UPMS dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) serta Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB).
Edisi kali ini menghimpunkan 10 pasukan dari universiti awam Malaysia dan Indonesia yang bakal mempersembahkan tarian etnik kreatif berasaskan budaya masing-masing.
Antara institusi pengajian tinggi yang mengambil bahagian ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) serta Universitas Borneo Tarakan (UBT), Indonesia.
Selain pertandingan tarian yang menjadi acara utama, CTN2025 turut diserikan dengan program komuniti dan silang budaya di rumah panjang sekitar Bintulu.
Menurut kenyataan UPMS, penganjuran ini bukan sahaja menampilkan persembahan seni, malah menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, masyarakat dan pemain industri kreatif, di samping memartabatkan warisan budaya Nusantara.