LAWATAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari mengadakan lawatan ke Sarawak Petchem Methanol Plant di Tanjung Batu, Bintulu, semalam.
BINTULU: Hab Petrokimia di Bintulu bakal miliki loji hidrogen selepas Projek Metanol bagi menarik lebih banyak pelabur luar ke Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan kini bercadang untuk membuka loji hidrogen yang mana ia akan dibangunkan pada tahun hadapan.
“Tujuan lawatan ini adalah disebabkan kita telah menerima beberapa cadangan untuk para pelabur baharu yang hendak menempatkan operasi mereka di Kidurong.
“Setakat ini, kita mempunyai pelaburan baharu dari Amerika Syarikat yang akan mengeluarkan bahan perubatan dan kita mempunyai lagi satu cadangan iaitu Loji Hidrogen yang akan dibangunkan pada tahun hadapan di kawasan yang sama.
“Jadi, kedatangan saya adalah untuk membuat perancangan yang lebih teliti dari segi kawasan tanah,” katanya kepada pihak media selepas lawatan beliau ke Sarawak Petchem Methanol Plant di Tanjung Kidurong semalam.
Dalam pada itu, Abang Johari turut memaklumkan bahawa kerajaan merancang untuk membesarkan kawasan Kidurong memandangkan aktiviti perindustrian di kawasan tersebut semakin pesat.
“Hari ini saya melihat kawasan-kawasan yang bakal kita rancang untuk industri akan datang dan saya menjangkakan jumlah pekerja pada tahun 2026 akan mencecah lebih 15 ribu orang.
“Kalau pembangunan ini berjalan selepas Projek Metanol, kita akan bangunkan hidrogen dan beberapa pelaburan daripada syarikat minyak bagi membangunkan satu lagi pelan dengan hab perubatan,” ujarnya.