
BINTULU: Bintulu Car Boot Sale yang bermula sejak 2014, terus menarik perhatian ramai apabila turut diadakan edisi khas Malam Raya selama tiga hari, hujung minggu lalu.
Berkonsepkan perniagaan santai menggunakan bonet kereta, program tersebut menjadi platform untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS) mempromosikan produk mereka secara lebih fleksibel dan interaktif.
Haidir Zaly, peneraju Bintulu Car Boot Sale berkata, program itu ‘dihidupkan’ semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan permintaan tinggi daripada para peniaga dan pengunjung.
“Kami membentuk satu komuniti sejak Januari lalu dengan lebih 600 ahli Car Boot Sale di Bintulu.
“Dalam setiap masa, sekitar 120 kenderaan vendor akan menyertai jualan ini,” katanya.

Program anjuran Bintulu Info melalui komuniti Bintulu Car Boot Sales itu dilaksanakan dengan kerjasama Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting RPR Sebiew serta Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Haidir memberitahu bahawa sambutan program sangat menggalakkan, dengan lebih 3,000 pengunjung setiap malam.
“Orang mula datang seawal 7.30 malam, walaupun program bermula 8.00 hingga 12.00 tengah malam,” tambahnya.
Susulan sambutan luar biasa itu, pihak penganjur merancang untuk menjadikannya sebuah program bermusim mengikut perayaan.
Sasaran utama seterusnya adalah untuk mewujudkan sebuah uptown di kawasan DUN Jepak bagi memperkukuh sektor ekonomi tempatan, khususnya dalam kalangan PKS. Namun, lokasi masih lagi dalam perbincangan bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi kerjasama penuh dan kami juga mendapat sokongan kuat daripada ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming serta ADUN Jepak, Iskandar Turkee,” tambahnya.
Pada program tersebut, salah seorang peniaga, Siti Fuiziah Hadi meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa terhadap jualannya.


“Batang buruk dan biskut susu memang ‘best selling’. Dalam tiga malam, 1,600 balang terjual. Belum selesai susun barang, orang sudah serbu.
“Ada yang siap tempah awal,” katanya yang menjual produk dari Betong.
Selain menjual secara langsung di Car Boot Sale, Fuiziah turut menyediakan gerai di beberapa pusat beli-belah bagi memenuhi permintaan menjelang perayaan.
“Saya tidak bergerak seorang. Ada pekerja lain yang membantu,” katanya sambil tersenyum.
Dengan sambutan yang menggalakkan, Bintulu Car Boot Sale dijangka menjadi acara tetap yang menyemarakkan suasana perniagaan dan ekonomi setempat.
Oleh Carolyne Utih