BINTULU: Bintulu merupakan sebuah bahagian di Wilayah Tengah Sarawak yang berpotensi menjadi pengeluar makanan berasaskan pertanian di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini dilihat daripada kedudukan strategik Bintulu dengan permintaan tinggi terhadap sektor terbabit.
“Bintulu mempunyai potensi khususnya komoditi sayur-sayuran ekoran permintaan tinggi serta pasaran meluas terhadap komoditi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri taklimat berhubung kemudahan pertanian bersama wakil rakyat dibawah Parlimen Bintulu bertempat di Pusat Latihan Pertanian, Sungai Sebiew di sini, semalam.
Menurutnya, sektor pertanian antara industri utama yang boleh menyumbang kepada ekonomi negeri, sekali gus melonjakkan pendapatan komuniti petani, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, berharap menerusi Jabatan Pertanian dapat merancakkan lagi sektor terbabit di daerah ini.
Katanya, program pertanian akan menjadi perintis kepada para usahawan dan penggiat pertanian bagi menceburi sektor pengeluaran makanan berkualiti dan banyak pada satu-satu masa agar mencukupi untuk dipasarkan di pasaran tempatan bagi menampung keperluan rakyat.
Justeru katanya, melihat kepada potensi itu kerajaan merancang untuk untuk membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Pusat Latihan Pertanian Sungai Sebiew.
“Kita semua maklum bahawa TKPM merupakan antara program jangka panjang kerajaan bagi mewujudkan lebih banyak zon kekal pengeluaran tanaman pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir, Menteri Utiliti; Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak; Datuk John Sikie Tayai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju; Majang Renggi dan ADUN Murum; Kennedy Chuk Pai Ugon.
Oleh Ellie Edward