
BINTULU: Bintulu muncul sebagai antara kawasan yang memerlukan tumpuan segera dalam usaha mengekang penularan HIV di Sarawak selepas merekodkan 36 kes baharu pada 2024, iaitu 16.6 peratus daripada keseluruhan jangkitan negeri.
Penaung Yayasan AIDS Malaysia, Borneo merangkap Pengerusi Teratak Kasih Tok Nan, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, penetapan Bintulu sebagai kawasan fokus adalah selari dengan tema Hari AIDS Sedunia 2025, ‘Mengatasi Gangguan, Mengubah Tindak Balas terhadap AIDS’ yang menuntut pendekatan lebih strategik dan terarah.
Beliau berkata, Sarawak mencatat 217 kes baharu HIV tahun lalu, dengan sebanyak 66 peratus kes datang dari tiga bahagian utama iaitu Kuching, Miri dan Bintulu, sekali gus memerlukan intervensi yang lebih komprehensif bagi mengurangkan risiko jangkitan.
“Untuk memastikan respons AIDS lebih berkesan, kita perlu melakukan transformasi seperti memperkukuh penglibatan komuniti, memperluas akses kepada saringan dan pencegahan serta menghapuskan stigma yang masih membataskan individu mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen HIV/STI/Hepatitis C, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Ruziana Miss pada majlis sambutan Hari AIDS Sedunia 2025 Peringkat Bintulu di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif seperti Teratak Kasih Tok Nan dan Program Sarawak Health Access Programme (SHAPE) telah membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan, selain menyokong model Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) yang mendekatkan perkhidmatan kepada komuniti berisiko.
Beliau turut memaklumkan, mesej saintifik ‘Undetectable = Untransmittable (U=U)’ perlu diberi penekanan dalam pendidikan awam kerana pesakit yang mencapai paras ‘viral load’ tidak dapat dikesan tidak akan menularkan HIV.
Katanya lagi, stigma dan diskriminasi masih menjadi halangan utama, khususnya dalam kalangan remaja dan belia yang bimbang menjalani ujian kerana takut dipandang negatif oleh keluarga atau rakan.
Beliau menggesa semua pihak termasuk komuniti, penyedia perkhidmatan kesihatan dan kepimpinan tempatan supaya memperkukuh kerjasama bagi memastikan akses rawatan lebih meluas, pendidikan berasaskan fakta diperhebatkan dan dasar tanpa diskriminasi terus dipertahankan.
“Bintulu perlu dijadikan contoh bagaimana kerjasama mampu mengatasi cabaran dan bagaimana empati boleh memperkukuh respons AIDS.
“Bersama, kita boleh mencapai sasaran menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030,” katanya.
Turut hadir Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak, Dato Anne Teng; Pengarah Hospital Bintulu, Dr. Suzalinna Sulaiman; Pengurus Kanan Group Stakeholder Relations Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Maslihah Tioh; Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr. Linda Jok; Pegawai Pergigian Bahagian Bintulu, Dr. Goh Ee Shung dan Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Bintulu, Ngo Pen Hee.
Oleh Carolyne Utih