BINTULU: Perancangan mitigasi banjir di Bintulu akan dinilai secara menyeluruh dengan cadangan penglibatan firma perunding antarabangsa bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang terhadap isu banjir di bandar itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pendekatan tersebut membolehkan perancangan dibuat berdasarkan keseluruhan sistem saliran dan keadaan kawasan, selain menggabungkan kepakaran tempatan dengan piawaian antarabangsa.
Menurutnya, cadangan berkenaan turut mengambil kira pengalaman firma perunding antarabangsa yang pernah terlibat dalam projek di Sarawak.
“Rainbow merupakan firma perunding antarabangsa yang besar dan membawa bersama kepakaran tempatan serta memenuhi piawaian antarabangsa.
“Premier telah melihat pelan projek di Sibu dan berpuas hati dengannya. Oleh itu, beliau mahu Bintulu turut mendapatkan khidmat firma perunding antarabangsa yang sama bagi melaksanakan kajian mitigasi banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau tapak projek di Gem Park selepas menghadiri Mesyuarat Timbalan Premier Sarawak Bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Bintulu di Pejabat DID Bintulu, di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, penglibatan firma perunding berkenaan turut memerlukan khidmat kepakaran tempatan, termasuk juruukur dan tenaga teknikal dalam bidang berkaitan, yang akan menyumbang kepada kos keseluruhan perkhidmatan.
Menurutnya, cadangan pelantikan firma perunding bagi Bintulu masih perlu dimuktamadkan, termasuk melalui perbincangan di peringkat Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
Beliau berkata, kajian menyeluruh itu dijangka menjadi asas kepada perancangan mitigasi banjir yang lebih teratur, selain membantu memastikan penyelesaian yang dirangka tidak hanya tertumpu kepada kawasan tertentu.
Oleh Carolyne Utih





