Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Bintang utama The Red Devils dijadualkan turun menentang ASEAN All-Stars
  • SUKAN

Bintang utama The Red Devils dijadualkan turun menentang ASEAN All-Stars

Utusan Sarawak 11 hours ago
KETUA jurulatih United Ruben Amorim.

KUALA LUMPUR: Para peminat Manchester United di Malaysia berpeluang menyaksikan kesemua bintang utama kelab itu secara langsung apabila skuad The Red Devils dijadualkan menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.

Ketua jurulatih United Ruben Amorim mengesahkan perkara itu dalam satu sidang media menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham United esok.

“Saya telah dimaklumkan. Kami tidak boleh hanya berdiam diri selepas musim ini. Jadi, kami perlu membantu kelab kerana kelab juga memperoleh sedikit pendapatan tambahan. Kami akan bertemu para peminat di seluruh dunia dan itu sangat penting, terutamanya apabila kami kalah dan mengecewakan penyokong dalam musim yang sukar ini.

“Jadi, saya rasa ini adalah perkara paling minimum yang boleh kami lakukan. Kami akan membawa seluruh pasukan, termasuk pemain muda dan kakitangan. Kami juga telah melakukan banyak perubahan dalam barisan kejurulatihan. Jadi, kami cuba membina sesuatu sebagai sebuah keluarga. Saya rasa ini juga satu perkara yang baik,” katanya seperti yang dipetik menerusi laman sesawang rasmi kelab www.manutd.com.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membawa kesemua pemain utama, Ruben berkata: “Ya, ya.”

Meskipun menghadapi musim yang mencabar dalam saingan EPL, United tetap mempamerkan semangat juang luar biasa pada kempen Liga Europa UEFA apabila mara ke perlawanan akhir menentang kelab senegara Tottenham Hotspur di Stadium San Mames, Bilbao, Sepanyol pada 21 Mei ini.

Kali terakhir United beraksi di Malaysia adalah semasa siri jelajah pramusim 2009, apabila mereka menewaskan Malaysia XI sebanyak dua kali berturut-turut, masing-masing 3-2 dan 2-0 pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Juara EPL sebanyak 13 kali itu juga akan berkunjung ke Hong Kong sebagai sebahagian daripada siri jelajah pramusim menentang pasukan kebangsaan negara berkenaan di Stadium Hong Kong pada 30 Mei ini. -Bernama

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Malaysia raih kemenangan pertama acara double
Next: Sepak takraw Piala Asia: Kuadran Malaysia libas China

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.