Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Bintang The Osmonds, Alan Osmond meninggal dunia pada usia 76 tahun
  • HIBURAN

Bintang The Osmonds, Alan Osmond meninggal dunia pada usia 76 tahun

Utusan Sarawak 17 hours ago
ANGGOTA The Osmonds, Alan Osmond, yang juga penulis lagu dan komposer utama kumpulan itu, meninggal dunia akibat komplikasi Multiple Sclerosis. Foto Agensi

LONDON: Pemuzik Amerika Alan Osmond – yang menyanyi bersama adik-beradiknya dalam kumpulan pop terkenal The Osmonds meninggal dunia pada usia 76 tahun, lapor PA Media/dpa.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu seperti Crazy Horses, Love Me For A Reason dan Let Me In itu meninggal dunia pada Isnin, dikelilingi isteri serta lapan anak mereka, menurut kenyataan keluarga kepada stesen berita tempatan KSL TV 5 di Salt Lake City, Utah.

Sejak 1987, Osmond berjuang dengan Multiple Sclerosis (MS) yang progresif, iaitu penyakit sistem saraf pusat yang menjejaskan otak, saraf tunjang dan saraf optik — menyebabkan gejala seperti keletihan, kebas, masalah penglihatan dan kesukaran berjalan.

Osmond memulakan kerjayanya pada 1958 apabila beliau menubuhkan kuartet barbershop bersama saudara lelakinya Wayne, Merrill dan Jay, sebelum disertai adik mereka Donny dan Jimmy, yang kemudian turut meraih kejayaan solo, sekali gus membentuk The Osmonds.

Kumpulan itu kemudiannya diperkenalkan oleh Jay Emerson Williams, bapa kepada penyanyi Amerika Andy Williams dan pada 1962, keluarga itu menjadi penghibur tetap dalam program variasinya, The Andy Williams Show.

Osmond dan adik-beradiknya kerap muncul dalam rancangan TV popular itu selama tujuh tahun, yang melonjakkan kemasyhuran mereka di peringkat nasional dan menjadikan The Osmond Brothers nama yang dikenali ramai.

Keluarga itu juga membuat banyak penampilan sebagai pelakon dan penghibur dalam siri Barat Amerika The Travels Of Jaimie McPheeters.

KUMPULAN The Osmonds yang terkenal pada era 1970-an. Foto Agensi

Pada era 1970-an, kumpulan itu menjadi idola remaja dan mencapai kemasyhuran global dengan jualan lebih 77 juta rekod di seluruh dunia.

Sebagai abang sulung, Alan berperanan penting sebagai penulis lagu dan komposer, menghasilkan beberapa lagu popular mereka termasuk One Bad Apple dan Down By The Lazy River.

Pada 1972, siri kartun mingguan pagi Sabtu berjudul The Osmonds dilancarkan di rangkaian TV Amerika ABC, menampilkan kisah keluarga itu serta lagu popular mereka.

Alan dan keluarganya membintangi rancangan itu sehingga ia berakhir pada 1973, sebelum diteruskan dalam bentuk rancangan variasi yang dibintangi adik-beradiknya Donny Osmond dan Marie Osmond.

Keluarga itu terus membuat persembahan bersama sehingga ulang tahun ke-50 mereka pada 2007, apabila Alan dan adiknya Wayne, yang meninggal dunia pada 2025 pada usia 73 tahun, bersara akibat masalah kesihatan.

Sejak itu, kumpulan keluarga itu beberapa kali mengadakan pertemuan semula, termasuk pada Oktober 2019 sempena sambutan ulang tahun ke-60 adik mereka Marie Osmond.

Pada 2024, Alan menerbitkan memoirnya bertajuk One Way Ticket, yang menceritakan perjalanan beliau mencapai kemasyhuran antarabangsa sebagai ketua The Osmonds, serta perjuangannya melawan MS.

Osmond berkahwin dengan isterinya Julie pada 1974 dan mereka dikurniakan lapan orang anak yang meneruskan legasi keluarga dengan menubuhkan kumpulan The Osmond Boys.- Bernama-PA Media/pa

Continue Reading

Previous: Barisan pelakon “The Devil Wears Prada 2”  kembali gegar karpet merah di New York
Next: Peminat Michael Jackson banjiri Hollywood saksikan  tayangan perdana Michael

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.