

LONDON: Bintang Liverpool, Diogo Jota dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.
Media tempatan melaporkan pemain sayap Portugal berusia 28 tahun itu terbabit dengan satu kemalangan di Zamora, Sepanyol – berhampiran dengan bandar Palacios de Sanabria.
Pemain bintang itu dilaporkan berada dalam sebuah kereta bersama abangnya Andre ketika kenderaan dinaiki terbabas.
Pihak media juga melaporkan yang abangnya turut meninggal dunia dalam kemalangan berkenaan.
Jota bermain di bahagian sayap kiri bersama Liverpool selepas menyertai kelab dari Wolves pada 2020 dengan nilai 41 juta pound (RM236.26 juta).
Lebih tragis, dia baharu mendirikan rumah tangga 10 hari lalu bersama pilihan hatinya Rute Cardoso.
Pasangan itu mempunyai tiga cahaya mata dan dalam satu gambar yang dimuat naik sebelum ini, mereka berkata: “22 Jun 2025. Ya sehingga selama-lamanya.”
Hantaran di Intagram itu memperoleh lebih 190,000 tanda suka dan 1,000 komen.