KEJAM…Rakyat Palestin terutamanya remaja sering menjadi sasaran tentera Israel di kawasan Masjidal-Aqsa.• Foto AFP
WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, membincangkan ketegangan berterusan di sekitar tapak suci Baitulmaqdis dalam panggilan berasingan bersama Perdana Menteri Israel dan Presiden Palestin kelmarin.
Dalam kenyataan dikeluarkan selepas kedua-dua panggilan, PBB berkata, Guterres membincangkan usaha untuk meredakan ketegangan, menamatkan provokasi dan langkah unilateral, serta memulihkan ketenangan.
Lebih 200 orang kebanyakannya rakyat Palestin, cedera sejak seminggu lalu dalam pertempuran di dalam dan sekitar perkarangan Al-Aqsa, tapak suci bagi kedua-dua orang Islam dan Yahudi.
Rakyat Palestin marah dengan penempatan polis Israel secara besar-besaran dan lawatan berulang oleh Yahudi ke tapak suci itu, yang ditadbir melalui perjanjian perkongsian kuasa yang lemah.
Guterres mengulangi bahawa status quo di tapak suci mesti ditegakkan dan dihormati.
Pertempuran di Al-Aqsa berlaku di tengah gelombang keganasan maut, yang mencetuskan kebimbangan konflik lebih meluas.
Pelancaran roket dari Semenanjung Gaza pada Rabu dan Khamis mendorong serangan balas daripada Israel.
Namun selepas serangan serupa dari Gaza semalam, Israel memutuskan untuk tidak melancarkan serangan balas, sebaliknya berkata ia akan menutup satu-satunya sempadannya ke daerah yang dikelilingi itu hari ini.
Dalam pada itu, Israel telah menutup satu-satunya laluan pekerja dari Semenanjung Gaza semalam sebagai tindak balas terhadap serangan dua roket yang dilancarkan oleh Palestin.
Kedua-dua roket yang dilepaskan semalam dan awal pagi tadi adalah susulan pertempuran berhari-hari di perkarangan masjid Al-Aqsa dan keganasan yang berlanjutan selama sebulan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan dikeluarkan sebuah unit di bawah Kementerian Pertahanan Israel, COGAT.
“Susulan roket yang dilancarkan ke atas wilayah Israel dari Semenanjung Gaza semalam, maka perjalanan ke Israel bagi pedagang dan pekerja Gaza menerusi laluan Erez adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Semalam, dua roket dilepaskan dari Gaza, yang mana salah satu terkena pada Israel dan satu lagi jatuh di bangunan kediaman di utara Gaza.
Awal pagi semalam, roket ketiga dilepaskan ke arah Israel, tanpa siren serangan udara diaktifkan untuk mana-mana pelancaran.
Kesemua roket itu dilepaskan akibat serangan yang berlaku Rabu dan Khamis lalu, di mana polis Israel bertempur dengan penduduk Palestin di Masjid al-Aqsa dan menyebabkan seorang dikejarkan ke hospital akibat cedera parah.
Pihak Israel membalas tindakan itu dengan melancarkan serangan udara, namun bagi mengelakkan berlakunya lebih banyak keganasan, Israel mengambil langkah menutup Erez.
Penutupan itu sebagai amaran bahawa penalti akan dilanjutkan sekiranya berlaku lebih banyak serangan.
“Pembukaan semula laluan akan ditentukan berdasarkan penilaian keadaan keselamatan,” katanya.
Lebih 200 orang, kebanyakannya penduduk Palestin, cedera dalam pertempuran di dalam dan sekitar al-Aqsa sejak beberapa minggu lalu.
Ia selepas penduduk Palestin berang apabila polis Israel dikerahkan ke kawasan itu dan kunjungan berulang masyarakat Yahudi ke kawasan suci itu dalam bulan Ramadan. – AFP