Apabila gambar sangkar ternakan ayamnya dimuat naik oleh saudara mara di laman sosial Facebook pada awal bulan ini, peti mesej Jeoffery Liang tidak berhenti-henti di’hujani’ pelbagai pertanyaan dan permintaan untuk menghasilkan sangkar tersebut sehingga sekarang.
Ini kerana sangkar ternakan ayamnya yang dihasilkan oleh lelaki berusia 38 tahun dari Selantik Ili, Pantu, Sri Aman itu adalah sangat menarik tidak seperti sangkar ternakan ayam biasa yang dihasilkan oleh orang lain di kampung.
“Saya tiada kepakaran membuat sangkar ternakan ayam selama ini. Bagaimanapun apabila sepupu saya memohon menghasilkan satu sangkar ternakan ayam yang menarik dan berbeza daripada orang lain atau di kedai maka saya terima.
“Dengan menggabungkan imaginasi dan kemahiran mengimpal, saya akhirnya berjaya menghasilkan sangkar ternakan ayam seperti yang diminta oleh sepupu saya itu dalam tempoh seminggu,” kata beliau.
Sangkar ternakan ayam yang dikimpal olehnya adalah berasaskan dawai dan batang besi. Ia dihasilkan sepanjang dua meter dan boleh memuatkan tiga ekor ternakan ayam bergantung kepada kehendak tuanya pada satu-satu masa.
Sangkar yang boleh dianggap sebagai pondok kecil itu turut dilengkapi atap. Dibina dengan menggunakan ‘kabus plain sheet’, atap kecil yang dipasang oleh Jeoffery atas sangkar itu sekali gus dapat memberi keselesaan untuk ternakan ayam sepanjang masa.
Malah ia secara tidak langsung juga dapat memberi kepuasan terhadap golongan pencinta ayam jantan yang suka ternakan mereka itu tinggal di ruang serba selesa dan dilindungi cahaya terik matahari dari masa ke semasa.
“Apabila gambar pondok kecil ternakan ayam saya itu dimuat naik bagi tujuan ‘suka-suka’ di Facebook, lantas penggemar ayam menghubungi saya menerusi peti mesej laman sosial itu memohon membina sangkar untuk mereka.
“Bagaimanapun saya masih mempertimbangkan permintaan mereka sehingga sekarang. Pondok kecil ternakan ayam ini saya hasilkan disebabkan oleh permintaan saudara terdekat di kampung dan bukannya untuk orang luar,” kata beliau.
Selain menghasilkan pondok kecil ternakan ayam tersebut, Jeoffery juga turut berbakat menghasilkan pagar pintu dan pagar perkarangan rumah berdasarkan imaginasi diri sendiri dan kepakaran mengimpal.
“Saya paling gemar menghasilkan pagar pekarangan rumah dan pintu.
Apabila pulang bercuti dari syarikat pesisir pantai, saya akan terus meluangkan masa menerima permintaan saudara terdekat untuk mengimpal pagar kediaman mereka di Kuching dan Samarahan.
“Pagar yang dikimpal berlainan dari segi seni dan hiasannya. Bayaran gaji? Itu terpulang kepada mereka yang memohon bantuan saya bagi tujuan itu kerana saya lakukan bukan semata-mata untuk perniagaan,” kata Jeoffery.
Beliau sebelum mengakhiri temuramahnya berhubung kemahiran itu berkata mungkin akan cuba membina perniagaan berasaskan kemahiran kimpalan di Rumah Panjang Selantik Ili, Pantu, Sri Aman apabila sudah bersara dari syarikat pesisir pantai kelak.
“Mungkin saya bersara daripada bekerja sebagai pengimpal di syarikat pesisiran pantai antara usia 50 hingga 60 tahun akan datang.
“Ketika itu mungkin saya akan bertindak membuka bengkel mengimpal dan menjual ‘hardware’ di kampung…kini saya hanya mengimpal pagar pintu, tangga kecil dan pagar perkarangan rumah untuk saudara mara di sini dan belum ada niat lain,” kata beliau.
Terdahulu Jeoffery mengakhiri zaman persekolahannya setelah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melugu pada tahun 2001.
Pada tahun 2003, beliau kemudiannya bertindak mengambil kursus SMAW,GTAW 6G dan 6GR Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) di Tabuan, Kuching sehingga tahun 2004.
Sebaik sahaja selesai mengambil kursus di PPKS, Jeoffery telah diterima untuk menyertai sebuah syarikat pesisir pantai iaitu Dayang Enterprise bermula dari tahun 2004 hingga tahun 2006 sebagai seorang pekerja am.
Beliau kemudiannya mencuba ilmu kimpalan yang dipelajari olehnya selama setahun di PPKS dahulu dengan bertindak menyertai syarikat SBM Offshore bermula dari tahun 2006 sehingga sekarang.
Penyertaan Jeoffery dalam syarikat SBM Offshore sebagai jurukimpal secara tidak langsung memberi ruang kepadanya untuk mencipta kreativiti mengimpal peralatan ketika mempunyai waktu terluang di kapal.
Oleh VALENTINE NGUMBANG