Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Bina sahsiah benteng fahaman radikal, ekstremis
  • NASIONAL

Bina sahsiah benteng fahaman radikal, ekstremis

Utusan Sarawak 11 hours ago
 AMANAT…Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof ketika berucap pada perasmian Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara hari ini. Foto Nadya Victoria

KUCHING: Pembinaan sahsiah dan pengukuhan nilai murni dalam masyarakat perlu diberi keutamaan bagi membendung penularan fahaman ekstremis serta radikal yang boleh menggugat keamanan, kestabilan dan perpaduan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya tidak mampu berkompromi dengan sebarang fahaman ekstremis yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kita tidak mampu untuk ada fahaman-fahaman ekstremis mahupun radikal kerana ia bukan sahaja boleh menggugat keamanan, kestabilan dan perpaduan yang telah lama wujud dalam masyarakat kita.

“Sebab itu kita mahu melahirkan masyarakat yang progresif dan sederhana. Salah satu perkara yang perlu diberi fokus, khususnya dalam Islam, ialah pendidikan pembinaan sahsiah,” katanya.

Menurut beliau, pembinaan sahsiah melalui pendidikan akhlak atau dalam konteks Islam dikenali sebagai tasawuf mampu membentuk kekuatan dalaman seseorang untuk berpegang kepada nilai kebaikan.

Katanya, nilai seperti kesederhanaan, kasih sayang dan semangat saling membantu perlu dipupuk dalam masyarakat bagi memastikan keharmonian terus terpelihara.

“Sahsiah ini adalah pendidikan akhlak, iaitu membina kekuatan dalaman yang berasaskan al-Quran dan as-Sunnah untuk membentuk akhlak supaya kita berpegang kepada nilai yang mewujudkan kesederhanaan, kasih sayang dan semangat tolong-menolong,” katanya.

Fadillah berkata, semua institusi dalam masyarakat termasuk keluarga dan pendidikan perlu memainkan peranan dalam memastikan fahaman sempit yang membawa kepada sikap ekstremis dapat dibendung sejak awal.

“Kita tahu di Malaysia ada kumpulan-kumpulan ekstremis yang radikal. Kalau kita tidak bendung daripada awal, ia boleh menjadi masalah.

“Sebab itu semua institusi perlu memainkan peranan untuk memastikan kita membendung sikap ekstremis yang kadang-kadang berpegang kepada fahaman sempit tetapi tidak melihat kepada nilai sebenar yang telah dibentuk dalam al-Quran dan as-Sunnah,” katanya.

 CENDERAMATA…Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof sempena Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara hari ini. Foto Norman B.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara bertemakan Ummah Maju Makmur di sini, hari ini.

Mengenai cadangan mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani ancaman keselamatan, beliau berkata perkara itu merupakan keputusan dasar yang telah dibuat sebelum ini.

“SOSMA kita tahu memang sudah ada, tetapi SOSMA tidak sekukuh apabila adanya ISA. Untuk membendung isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) sekalipun memang amat sukar.

“Kita perlu melihat keseluruhan aspek untuk mengimbangi keselamatan dan keharmonian kehidupan masyarakat Malaysia melalui peruntukan perundangan, tetapi pada masa sama kita perlu melihat kedudukan dunia yang menilai negara kita dari sudut standard antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pengukuhan perundangan negara tetap penting, namun pendekatan perundangan perlu diseimbangkan dengan penilaian masyarakat antarabangsa terhadap standard sesebuah negara.

Bagaimanapun, Fadillah menegaskan pembentukan sahsiah manusia merupakan pendekatan paling utama berbanding hanya bergantung kepada tindakan perundangan.

“Perundangan ini adalah jalan terakhir. Yang lebih penting ialah membentuk nilai manusia itu sendiri. Pembentukan sahsiah lebih penting daripada kita hanya memfokuskan kepada perundangan.

“Kalau setiap individu dapat dilahirkan dengan sahsiah yang baik, maka sifat radikal dan ekstrem itu dapat kita bendung kerana akhirnya manusia akan sentiasa berkasih sayang antara satu sama lain,” katanya.

Oleh Norman B

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: PRN Johor: Lebih 50 peratus keluar undi setakat 3.00 petang
Next: Piala Dunia: Mas meriahkan cabaran tular tukar logo syarikat penerbangan Norway-England

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.