
MARUDI: Pendidikan merupakan tunjang utama dalam membina masa depan negara, yang bukan sekadar proses penyampaian ilmu, malah berperanan membentuk modal insan yang berfikiran kritis, kreatif dan berdaya saing.
Ahli Parlimen Baram Dato Anyie Ngau berkata melalui pendidikan berkualiti kita melahirkan generasi yang bukan sehaja berjaya dalam akademik, tetapi juga memiliki jati diri, nilai murni dan kesedaran tanggungjawab sosial.
“Kita melangkah ke arah pendidikan masa hadapan menerusi fasa transisi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026–2035, pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 serta Dasar Pendidikan Digital.
Dalam proses pendidikan negara, kita sedar bahawa sekolah tidak boleh bergerak sendirian,” katanya.

Katanya setiap sekolah harus berkembang sebagai sebuah ekosistem yang hidup, di mana matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan, tetapi insan yang beradab, berakhlak, berempati, menghormati perbezaan serta bertanggungjawab kepada masyarakat.
Beliau turut menekankan bahawa Sarawak amat bertuah kerana dalam usaha mencapai hala tuju Sarawak Maju Makmur menjelang 2030, aspek pendidikan menjadi tumpuan utama.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mencapai hasrat tersebut, termasuk penubuhan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak, penyediaan pendidikan tinggi percuma di institusi pendidikan tinggi milik Sarawak, pembaikan sekolah daif serta inisiatif lain yang telah diumumkan oleh Premier Sarawak.”
Tambahnya ini jelas menunjukkan kesungguhan kepimpinan Sarawak bagi membangunkan sumber manusia yang kompeten yang akan melestari kemajuan Sarawak dan Malaysia.
“Justeru itu juga, kita perlu mengambil peluang dalam pembaharuan dan kemajuan pendidikan STEM dan TVET yang telah diperkasakan bagi mencapai matlamat ini,” katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan SMK Marudi di Dewan MAGSS, SMK Marudi di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua PIBG SMK Marudi, Penghulu Blalang Atom, dan pada masa yang sama turut mengumumkan peruntukan MRP berjumlah RM10,000 kepada PIBG SMK Marudi.
Beliau menegaskan bahawa warga pendidikan perlu melengkapkan diri serta para pelajar dengan pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Katanya, persediaan ini penting bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 serta memanfaatkan kemajuan dalam dunia kecerdasan buatan (AI).
AI dan ICT kini menjadi tunjang kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan data, serta membentuk asas ekonomi alaf baharu yang semakin berkembang pesat.
Tiga pelajar menerima anugerah kecemerlangan, iaitu Dylan Houng Yu Chen yang menerima Anugerah Bintang Suri Lelaki (Perdana), Chrystal Lai Jie Ying yang menerima Anugerah Bintang Suri Perempuan (Perdana), dan Patrick Nyandang Juan yang menerima Anugerah Bintang Suri Aspirasi Tingkatan 6.
Oleh Jiku Juguong