
ANGKATAN Nahdatul Islam Bersatu atau lebih dikenali dengan nama singkatan BINA merupakan satu pertubuhan yang telah memperkasakan Islam di Sarawak.
Sejak penubuhannya pada 3 April 1969, BINA telah bergerak aktif dalam memperkukuh dan memperluaskan Islam di Sarawak.
Era 1970-an menyaksikan bagaimana BINA telah melakukan pelbagai aktiviti untuk membangunkan umat Islam di Sarawak.
Aktiviti BINA yang dilakukan ini termasuklah aktiviti dakwah yang dijalankan dalam bentuk kursus, seminar, forum, majlis bahas dan pelbagai lagi untukmasyarakat Islam.
Dalam pendidikan, BINA memulakan usaha membina Tabika Bina dan seterusnya memberi bantuan kewangan kepada pelajar Islam di Sarawak.
Bagi saudara baharu pihak BINA telah membimbing mereka dengan pendidikan Islam untuk memperkukuhkan ilmu-ilmu Islam.
Dalam aspek ekonomi, BINA tidak ketinggalan dalam mewujudkan koperasi mereka sendiri.
Seiringan dengan Dasar Ekonomi Baru, BINA juga membantu usahawan Bumiputera Islam untuk memulakan perniagaan.
Bidang sosial pula BINA telah menunjukkan bahawa Islam juga tidak meninggalkan usaha memperkasakan umatNya untuk terlibat dengan aktiviti seni mempertahankan diri dan muzik.
Usaha-usaha ini dilakukan sepanjang 1970-an dan diteruskan pada tahun-tahun 1980-an.
Sempena ulang tahun ke-10 BINA, satu majlis forum telah diadakan oleh BINA di Dewan Pembangunan Tun Abdul Razak.
Forum tersebut diadakan pada April 1979 telah menjemput ilmuan Islam seperti Dr Hamka, Tan Sri Ainuddin Wahid dan Profesor Tan Sri Jalil Hassan.
Forum ini dipengerusikan oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Rahman Ya’akub.
Cawangan
Memasuki awal 1980-an, BINA lebih dewasa dan meneruskan usaha untuk memperkasakan umat Islam di Sarawak.
Hal ini boleh dilihat dengan kegiatan cawangan-cawangan BINA yang aktif dalam mengerakkan agenda Islam.
Salah satu cawangan BINA yang aktif adalah BINA cawangan Kuching.
BINA cawangan Kuching diketuai oleh Abang Ahmad Urai yang mempunyai keahlian hampir 800 orang dan telah melakukan pelbagai aktiviti.
Dalam laporan BINA cawangan Kuching untuk 1979, mereka telah mengerakkan aktiviti keagamaan seperti kursus agama untuk pelajar-pelajar Islam sekolah menengah, majlis ceramah agama di sekolah-sekolah sekitar Kuching dan mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul.
Cawangan ini juga mengadakan kempen mengutip derma untuk membantu umat Islam yang fakir dan miskin menjelang Hari Raya pada 1980.
Kempen ini berjaya mengutip wang sebanyak $20,000 bersama dengan beratus-ratus bungkusan derma daripada orang ramai.
Selain wang ringgit, BINA juga mengalu-alukan penderma untuk menderma barang-barang kegunaan harian.
Barang-barang ini terdiri daripada kain baju Melayu, baju kurung, telekong, kasut, selipar, songkok, kain pelikat dan batik.
Ekonomi keluarga
Salah satu lagi aktiviti yang digerakkan oleh BINA cawangan Kuching ini ialah memperkasakan ekonomi rumah tangga.
BINA telah menjalankan kursus asas masakan, jahitan dan kelas orang dewasa.
Usaha-usaha lain digerakkan adalah meneruskan kegiatan seni mempertahankan diri.
Selain silat terdapat juga Aikido dan Tan Soo Do dijalankan.
Pada awal 1980-an seramai 40 orang ahli BINA terlibat dalam memperlajari teori muzik.
Hazani Dahlan telah dilantik sebagai guru mengajar tentang muzik.
Aktiviti BINA cawangan Kuching ini juga meliputi soal-soal kebajikan umat Islam.
Unit kebajikan cawangan tersebut pernah membantu salah seorang mangsa kebakaran di Jalan Ajibah Abol.
Ketua unitnya iaitu Hasanah Daud telah menyerahkan wang derma sebanyak $300 dan pakaian kepada mangsa kebakaran tersebut.

Kerjasama
Dalam aspek ekonomi, BINA dan MARA negeri berganding bahu untuk mendirikan Gerai BINA/MARA di Jalan Haji Taha.
Gerai 69 pintu yang dibina ini menelan belanja sebanyak $400,000.
Gerai-gerai ini siap sepenuhnya pada 20 Jun 1980.
Gerai ini disewa untuk usahawan Bumiputera. Usaha yang dilakukan oleh BINA ini untuk menyahut seruan Dasar Ekonomi Baru.
Pada 1983 BINA mengadakan kerjasama dengan Perwakilan Pelajar-pelajar Islam Sarawak Semenanjung untuk Kursus Kepimpinan Islam.
Kursus tersebut diadakan di Sekolah Sheikh Haji Othman Abdul Wahab di Jalan Matang, Kuching.
Global
BINA tidak semata-mata bersifat lokal tetapi juga mengikuti perkembangan dunia.
Pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan pada 1979 merupakan salah satu peristiwa yang memberi kesan kepada pergerakan BINA.
Mereka telah menjalankan demontrasi membantah pencerobohan tersebut.
Dalam demontrasi yang berlangsung pada 1979 di luar masjid negeri selepas solat Jumaat melibatkan kira-kira 5,000 orang.
Malah BINA juga telah menghantar kawat bantahan ke Kedutaan Soviet Union di Kuala Lumpur yang menyeru agar tentera Soviet Union berundur dari Afghanistan dengan sesegera mungkin.
Susulan itu BINA juga menjalankan kutipan derma untuk membantu pelarian Afghanistan.
BINA sendiri telah menderma sebanyak $3,000 kepada tabung kutipan derma tersebut.
Pujian
Usaha dalam aspek pendidikan yang digerakkan oleh BINA ini mendapat pujian daripada Timbalan Pengarah Negeri Sarawak, Abang Naim.
Ini kerana bagi Abang Naim usaha BINA ini telah menambahkan pengetahuan tentang Islam bagi pelajar-pelajar Islam di sekolah.
Atas sebab itu beliau menyarankan agar pelajar dapat menyertai pertubuhan seumpama ini semasa cuti persekolahan.
Secara tidak langsung juga kemudahan-kemudahan yang ada di ibu pejabat BINA memberi peluang kepada umat Islam untuk mengadakan pelbagai aktiviti sosial.
Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pernah menggunakan dewan milik BINA untuk aktiviti mereka.
Aktiviti yang dijalankan oleh Pergerakan Wanita PBB itu pada 1980 adalah majlis Israk Mikraj.
Dalam ucapan Ketua Pergerakan Wanita PBB ketika itu, Hafsah Harun sempat memuji aktiviti yang digerakkan oleh BINA.
Beliau berkata bahawa BINA telah menjalankan aktiviti memperjuangkan Islam dan menyebarkan agama Islam secara meluas.
Selain itu menurut beliau, BINA telah berjaya mendekatkan golongan belia dan beliawanis untuk mendalami tentang Islam.
Sehubungan dengan majlis tersebut, satu syarahan telah dibuat dan dikendalikan oleh Johari Bojeng.
Pendidikan
Usaha BINA dalam aspek pendidikan pada 1980-an semakin terserlah dengan membina sekolah untuk saudara baharu yang dikenali sebagai Darul Rahman.
Usaha juga dibuat dengan menghantar pelajar untuk mendalami Islam di beberapa negara.
Setakat 1983, seramai 10 pelajar dihantar ke Indonesia, dua pula ke Arab Saudi dan seorang ke Libya.
Sejak penubuhannya pada akhir 1960-an, BINA menjadi sebuah pertubuhan Islam terbesar di Sarawak.
Ia telah mengerakkan pelbagai aktviti yang merentasi pelbagai aspek.
Hal ini menjadikan BINA sebagai sebuah pertubuhan yang aktif untuk mewujudkan kesejahteraan umat Islam di Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).