
KETIKA kita berada di lapangan terbang, sering kali perhatian kita tertumpu kepada pergerakan pesawat yang memecut laju untuk berlepas, berselang-seli dengan ketibaan yang sentiasa dinanti-nanti, tanpa menyedari di sebalik kelancaran perjalanan itu, terbentang landasan yang memungkinkan segala operasi penerbangan berjalan dengan selamat dan efisien.
Walaupun ia ‘sekadar’ kelihatan hanya seperti satu jalan raya yang panjang dan lurus, sebenarnya ia direka dengan spesifikasi kejuruteraan yang jauh lebih ketat berbanding jalan raya biasa.
Landasan kapal terbang perlu mampu untuk menampung beban berat pesawat selain tekanan impak ketika pendaratan dan pelepasan serta mempunyai permukaan yang dapat mencengkam tayar dalam pelbagai keadaan cuaca dan suhu ekstrem.
Bagi memastikan setiap landasan memenuhi piawai ditetapkan, maka Kod Rujukan Aerodrom (Aerodrome Reference Code) dibangunkan berdasarkan Annex 14 oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Kod ini bertujuan untuk memenuhi tiga fungsi utama. Pertama dari sudut reka bentuk, ia memberikan panduan kepada jurutera dan perancang tentang bagaimana sesebuah lapangan terbang perlu dibangunkan berdasarkan hubungan rasional antara kriteria teknikal dan keperluan pesawat semasa dan masa depan.

Kedua dari sudut penyeragaman, kod ini berfungsi sebagai kaedah ringkas untuk menyatukan pelbagai spesifikasi teknikal berkaitan ciri fizikal lapangan terbang.
Ketiga dari sudut operasi, kod ini menjadi petunjuk kepada pengendali syarikat penerbangan sama ada kemudahan lapangan terbang itu sesuai atau tidak untuk jenis pesawat yang bakal digunakan dengan syarat pembinaan lapangan tersebut telah mematuhi ketetapan Annex 14, khususnya bagi kawasan pergerakan.
Kod ini terdiri daripada dua elemen iaitu nombor yang mewakili panjang minimum landasan dan huruf yang merujuk kepada julat lebar sayap dan jarak roda pesawat.
Panjang minimum landasan dibahagikan kepada 4 kod nombor iaitu 1, 2, 3 dan 4. Nombor 1 mewakili panjang landasan yang pendek manakala nombor 4 pula menunjukkan landasan mempunyai panjang yang melebihi 1800 meter (m).
Bagi kod huruf pula, ia dipecahkan kepada 6 kod huruf bermula dengan A hingga F. Setiap kod huruf mempunyai ukuran yang tersendiri yang menunjukkan huruf A menggambarkan saiz pesawat kecil manakala huruf F saiz pesawat yang besar dengan ukuran lebar sayap antara 65 m hingga 80 m dan jarak roda pesawat antara 14 m hingga 16 m.

Sebagai contoh, jika kod nombor adalah 1, maka panjang landasan tidak melebihi 800 m, manakala kod huruf adalah A, maka lebar sayap tidak melebihi 15 m dan jarak roda pesawat tidak melebihi 4.5 m.
Kod ini ditunjukkan dengan 1A memberi pemahaman pesawat yang dapat mendarat atau berlepas di landasan ini adalah seperti Cessna 182 S.
Landasan kategori ini juga dipanggil STOLport (lapangan terbang landasan pendek) atau Short Take-Off and Landing Port).
Bagi pesawat yang sering kita lihat di lapangan terbang domestik seperti Boeing 737 atau Airbus 320, maka apabila merujuk kepada kod yang ditetapkan, lapangan terbang ini mungkin dilabelkan dengan kod 4C, jika tiada pesawat lebih besar dapat menggunakan landasan ini.
Namun, bagi lapangan terbang besar seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kod rujukannya adalah 4F kerana ia direka untuk menerima pesawat bersaiz besar seperti Airbus A380.
Perkara ini menjadikan KLIA sesuai untuk mengendalikan semua pesawat komersial lain yang lebih kecil saiznya, sekali gus memberikan fleksibiliti maksimum dalam operasi penerbangan antarabangsa dan domestik.
Seterusnya, lebar landasan juga ditentukan berdasarkan kod yang sama. Contohnya, lapangan terbang kategori 4F seperti KLIA memerlukan lebar minimum 60 meter, manakala kategori 3C seperti Miri dengan lebar sekitar 30 hingga 45 meter.
Landasan di STOLport biasanya jauh lebih sempit, sekitar 18 hingga 23 meter, memadai untuk pesawat seperti DHC-6 Twin Otter.
Selain panjang fizikal landasan ini di atas tanah, terdapat juga laluan maya yang perlu diberi perhatian iaitu kawasan pergerakan pesawat di udara yang merangkumi zon pendekatan dan zon pendakian selepas berlepas.
Kawasan ini memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pergerakan pesawat masuk dan keluar dari lapangan terbang.
Kawasan-kawasan ini perlu dipastikan bebas daripada sebarang halangan seperti pokok tinggi, menara komunikasi, struktur bangunan atau sebarang objek kekal dan bergerak yang boleh mengganggu laluan penerbangan.
Oleh itu, setiap lapangan terbang mesti mematuhi had ketinggian dan cerun yang ditetapkan dalam Permukaan Had Halangan atau Obstacle Limitation Surfaces (OLS) yang ditakrifkan oleh ICAO.
Kepatuhan terhadap keperluan ini bukan sahaja melibatkan sempadan fizikal lapangan terbang, malah merangkumi kawasan persekitarannya sejauh beberapa kilometer.
Secara teknikal, sebarang pembangunan struktur tinggi dalam lingkungan zon OLS perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa penerbangan tempatan bagi mengelak risiko keselamatan.
Hal ini termasuk projek perumahan, lampu limpah stadium, menara pemancar dan juga aktiviti penggunaan dron yang tidak terkawal di kawasan berhampiran.
Kewujudan zon-zon ini menunjukkan bahawa keselamatan penerbangan bukan sahaja ditentukan oleh keadaan fizikal landasan, tetapi juga oleh kawalan terhadap ruang udara dan kawasan sekitarnya.
Landasan merupakan kawasan kritikal dalam operasi penerbangan dan mesti sentiasa berada dalam keadaan bebas daripada pencerobohan fizikal dan unsur-unsur yang boleh merosakkan integriti struktur serta keselamatan pergerakan pesawat.
Permukaan landasan perlu dikemaskan dengan kaedah yang sesuai bergantung kepada jenis bahan binaan yang digunakan.
Bagi landasan berturap, proses kemasan melibatkan penurapan berlapis menggunakan asfalt atau konkrit berkualiti tinggi, disusuli dengan pemampatan menggunakan jentera berat untuk memastikan permukaan kekal rata, kukuh dan tahan lama.
Selain itu, bagi memastikan keselamatan optimum, permukaan landasan perlu menjalani pemeriksaan mikrostruktur secara berkala menggunakan alat khas seperti profilograf.
Pemeriksaan ini bertujuan untuk mengesan sebarang ketidakseimbangan, retakan atau ketebalan lapisan yang tidak seragam yang boleh menjejaskan cengkaman tayar pesawat atau menyebabkan ketidakselesaan semasa pendaratan.
Penjagaan rapi terhadap landasan juga merangkumi pembersihan daripada serpihan asing, penandaan semula garisan visual dan kerja-kerja pembaikan segera sekiranya terdapat kerosakan kecil yang boleh mengundang risiko besar.
Di Malaysia, terdapat lebih daripada 60 lapangan terbang yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan pihak berkuasa negeri, meliputi pelbagai kategori termasuk lapangan terbang antarabangsa, domestik dan juga STOLport.
Sekitar 20 daripada jumlah ini merupakan STOLport, kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk menghubungkan komuniti luar bandar dengan pusat bandar utama seperti Kuching, Kota Kinabalu dan Miri.
Hakikatnya, perkiraan dan pengiraan untuk membina landasan jauh lebih kompleks daripada yang disangka. Ia bukan sekadar membina laluan lurus untuk pesawat mendarat dan berlepas, tetapi menuntut pematuhan kepada pelbagai piawaian antarabangsa, pertimbangan prestasi pesawat, analisis topografi, cuaca dan pelbagai aspek keselamatan.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.