Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Bina ekosistem tenaga ASEAN sebelum laksana perdagangan kuasa – Premier Sarawak
  • BISNES

Bina ekosistem tenaga ASEAN sebelum laksana perdagangan kuasa – Premier Sarawak

Utusan Sarawak 2 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa sesi perbincangan mengenai peralihan tenaga pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. Foto Sarawakku

KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menggesa negara-negara ASEAN supaya membangunkan terlebih dahulu ekosistem tenaga serta rangka kerja peraturan yang kukuh sebelum melangkah ke arah pelaksanaan perdagangan kuasa dan integrasi tenaga serantau.

“Saya fikir sebelum kita mahu ‘berlari’, biarlah kita ada ‘padang’ dahulu, kemudian barulah kita membina ekosistem tenaga, kerana tenaga elektrik kini merupakan komoditi yang boleh diniagakan,” katanya.

Baliau berkata demikian semasa sesi perbincangan mengenai peralihan tenaga pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Abang Johari menegaskan bahawa pembentukan rangka kerja peraturan yang tersusun amat penting dalam melancarkan proses peralihan tenaga ASEAN, khususnya melibatkan aspek perdagangan kuasa dan kawal selia pasaran.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba pada sesi perbincangan mengenai peralihan tenaga pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. Foto Sarawakku

Beliau merujuk kepada model negara-negara Nordic dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai contoh kejayaan pertukaran tenaga elektrik rentas sempadan yang boleh dijadikan panduan oleh ASEAN.

“Model terbaik yang boleh kita pelajari ialah perdagangan kuasa antara negara-negara Nordic dan EU. Mereka membekalkan tenaga melalui kabel dasar laut dan akhirnya mewujudkan harga spot (harga semasa) di pasaran tenaga,” katanya.

Beliau menambah bahawa apabila rangka kerja peraturan dan ekonomi yang sesuai telah diwujudkan, pelaksanaan integrasi kuasa serantau dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN akan menjadi lebih lancar dan berkesan.

Menyentuh mengenai sumber tenaga masa hadapan, Premier Sarawak berkata ASEAN juga perlu meneroka sumber tenaga baharu di luar tenaga boleh diperbaharui bagi menjamin keperluan tenaga jangka panjang.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun tenaga nuklear masih dianggap sensitif kerana faktor keselamatan, teknologi tenaga gabungan (fusion energy) yang sedang dibangunkan kini menawarkan alternatif yang lebih selamat dan bersih.

“Terdapat teknologi baharu iaitu tenaga gabungan yang sedang dibangunkan pada masa ini. Itulah sebabnya saya turut menekankan tentang hidrogen,” jelasnya.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bergambar pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. Foto Sarawakku

Abang Johari turut menegaskan bahawa isu utama yang mendorong peralihan tenaga global adalah perubahan iklim serta keperluan mendesak untuk menggantikan bahan api fosil.

Beliau menekankan bahawa peralihan tenaga melibatkan aspek saintifik dan ekonomi yang perlu ditangani secara kolektif oleh negara-negara ASEAN.

“Isu asasnya ialah perubahan iklim. Seterusnya, kita perlu menggantikan bahan api fosil dan itulah yang sedang kita lakukan sekarang bagi mengurangkan peningkatan suhu global,” ujarnya.

Beliau menutup ucapannya dengan keyakinan bahawa usaha ASEAN ke arah pembentukan grid tenaga bersepadu dan kerjasama tenaga serantau akhirnya akan membuahkan hasil.

“Saya percaya apa yang boleh dilakukan oleh ASEAN ialah membangunkan ekosistem tenaga itu terlebih dahulu, kemudian mewujudkan platform bersama untuk memperkasa ASEAN. Ketika itu, kita akan dapat melihat cahaya di hujung terowong,” katanya.

Sesi perbincangan tersebut turut disertai oleh Pengarah Jeneral Jabatan Asia Tenggara, Bank Pembangunan Asia (ADB), Winfried Wicklein, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan serta Naib Presiden Vietnam National Industry–Energy Group (PetroVietnam), Le Manh Cuong.

Sesi itu telah dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN (ASEAN Centre for Energy – ACE), Dato Ir Abdul Razib Dawood.

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Pasaran getah dijangka melonjak minggu hadapan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.