PEMBENTUKAN Angkatan Nahdatul Islam Bersatu (BINA) pada lewat 1960-an memberi impak besar dalam pembangunan dan kemajuan masyarakat Islam di Sarawak. BINA juga menunjukkan kesungguhannya untuk mencapai matlamat penubuhan pertubuhan itu. Dari segi tujuan penubuhan BINA, pertubuhan ini mempunyai pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan agama seperti pendidikan, kebajikan dan dakwah serta pembangunan ekonomi.
Dakwah
Untuk mencapai matlamat penubuhan BINA, ia digerakkan secara berperingkat. Pada peringkat awal penubuhannya, matlamat utama adalah memberi dakwah kepada masyarakat Islam di Sarawak sendiri. Dakwah ke atas masyarakat Islam di Sarawak ini perlu untuk mengembalikan jati diri Islam dalam kalangan umat Islam ketika itu. Ini kerana sekian lama Sarawak dijajah oleh kuasa asing menyebabkan pengaruh bukan Islam telah bercampur dengan ajaran Islam di Sarawak.
Oleh itu, dalam tempoh tujuh tahun penubuhannya, aktiviti BINA ini memberi pelbagai program keagamaan seperti kursus agama, seminar, forum, majlis bahas dan pelbagai lagi untuk masyarakat Islam. Dalam hal ini, BINA memberi tumpuan kepada belia-belia Islam di Sarawak.
Selepas tujuh tahun, BINA memberi dakwah kepada masyarakat Islam, BINA mengorak langkah lebih ke hadapan dengan memberi dakwah pula kepada masyarakat Sarawak secara keseluruhannya. Sebuah jawatankuasa dakwah telah diwujudkan dalam hal ini bagi membantu program dakwah terutama memberi pemahaman tentang Islam sebenar dalam kalangan saudara baharu di Sarawak. Dalam hal ini negara-negara Islam juga tampil dengan membekalkan guru agama dan memberi bantuan kewangan bagi mencapai matlamat program dakwah ke atas masyarakat di Sarawak.
Bagi memantapkan proses dakwah ini, maka Bahagian Kebajikan dan Pendidikan Saudara Baharu ditubuhkan pada 1977. Penubuhan badan ini bertepatan dengan usaha menjaga kebajikan saudara baharu yang semakin bertambah kesan dakwah dilakukan oleh BINA.
Pendidikan
Dalam bidang pendidikan, BINA tidaklah melibat secara langsung dalam hal ini. Namun mereka pernah menubuh sebuah taman bimbingan kanak-kanak atau Tabika BINA di Surau Muda Hashim. Tabika BINA ini ditubuhkan pada Februari 1976. Selain itu, bantuan pendidikan yang dilakukan oleh BINA juga melibatkan kelas bimbingan bagi pelajar yang memerlukan tunjuk ajar di luar masa sekolah. Bantuan kewangan juga diberi kepada mereka yang tidak berkemampuan dalam menampung perbelanjaan sekolah mereka. Bantuan ini juga melibatkan bantuan kewangan untuk membayar yuran peperiksaan mereka.
Bagi saudara baharu pula pihak BINA juga memberi ruang luas kepada mereka dalam memahami pendidikan Islam. Antara usaha dilakukan dengan menghantar beberapa saudara baharu ke Pusat Latihan PERKIM di Kuala Lumpur untuk mendalami tentang Islam. Dalam hal ini juga satu Kelas Bimbingan Khas diwujudkan bagi saudara-saudara baharu. Kelas ini diwujudkan pada 1977. Kelas-kelas khas agama ini diadakan di Pusat Latihan BINA, Darul Rahman.
Perancangan ekonomi
Dalam aspek ekonomi pula, BINA telah menubuhkan sebuah koperasi untuk masyarakat Islam di Sarawak. Koperasi ini hanya didaftarkan pada 15 Disember 1978. Koperasi ini dinamakan sebagai Koperasi Anib Bhd. Nama koperasi ini datang daripada nama BINA sendiri tanpa diterbalikkan. Koperasi ANIB ini mempunyai pelbagai fungsi dan peranan dalam memperkasakan ekonomi orang Islam di Sarawak.
Secara umumnya koperasi ini menceburi bidang perdagangan, perindustrian, pemasaran, petanian komersial, pelaburan, usahasama dan pelbagai lagi aktiviti ekonomi yang dibenarkan dalam Islam. Koperasi ini juga memberi peluang kepada orang Islam untuk membuat simpanan dalam koperasi ini. Daripada dana itu, koperasi ini juga akan memberi pinjaman kepada orang Islam yang ingin mencebur dalam bidang perniagaan. Usaha BINA ini menyokong matlamat Dasar Ekonomi Baru bagi membolehkan Bumiputera mencebur diri dalam pelbagai bidang ekonomi.
Untuk tujuan pengambilan ahli, koperasi ini membuka keahlian kepada individu berusia 16 tahun ke ataa dan lahir di Sarawak. Ahli-ahli ini boleh membeli saham dengan had 2,000 unit saham.
Seni mempertahankan diri
BINA juga mempunyai keunikannya tersendiri. Keunikan ini hasil usaha Yang Dipertuannya, iaitu Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub yang membawa seni mempertahankan diri sebagai sebahagian aktiviti pertubuhan tersebut. Abdul Rahman Yakub amat meminati seni mempertahankan diri. Beliau sendiri membawa dua jenis seni silat Melayu ke dalam kegiatan BINA. Dua seni silat ini ialah Mayang Mengurai dan Cempaka Putih. Kedua-dua seni silat ini membina perwatakan ahli-ahli BINA untuk berdisiplin dan berwaspada serta bertakwa kepada Allah.
Namun demikian, Yang Dipertua BINA ini tidak mengehadkan ahli-ahlinya hanya terlibat dalam dua bidang seni mempertahankan diri ini. Malah, beliau pernah menjemput jurulatih seni mempertahankan diri Akido dari Jepun untuk melatih anak-anak Sarawak dalam seni mempertahan diri itu. Tambahan itu, beliau juga menjemput orang bernama Hussin dari Kelantan untuk memberi tunjuk ajar dalam seni silat yang dinamakan Silat Tongkat.
Selain mendekati ahli BINA dengan pesatuan mempertahankan diri, BINA juga telah menubuh pasukan nasyidnya sendiri. Nasyid BINA ini merupakan salah satu pasukan nasyid yang terkenal pada 1970-an. Pasukan ini pernah terlibat dalam pelbagai persembahan nasyid pada Majlis Tilawah al-Quran peringkat negeri. Mereka juga pernah dijemput dalam persembahan nasyid di majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 1970.
Atas sebab mutu persembahan yang baik, kumpulan nasyid BINA ini pernah juga dijemput untuk merakam persembahan mereka di RTM. Pada majlis Tilawah al-Quran peringkat negeri yang berlangsung pada 1975, persembahan nasyid BINA memperlihatkan kelainan apabila menampilkan saudara baharu sebagai ahli kumpulan nasyid tersebut. Persembahan baik dilakukan oleh kumpulan nasyid BINA ini menyebabkan ia dijemput lagi dalam majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada 1977.
Selain nasyid, BINA juga mempunyai pelbagai lagi pasukan kesenian muzik yang jarang ada pada pertubuhan Islam yang lain. Antaranya adalah pasukan pancaragam, pasukan angklong dan arumba. Penglibatan pasukan muzik dan juga seni silat ini menunjukkan BINA telah mengorak langkah ke arah usaha mempelbagaikan medium penyampaian Islam di Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.