
MALUDAM: Penduduk Kampung Sungai Daun di sini bakal menikmati kemudahan jalan lorong yang lebih baik dan selamat selepas berlangsungnya majlis penyerahan tapak projek membina baharu jalan lorong ke lorong di kampung tersebut semalam.
Majlis simbolik itu menyaksikan penyerahan rasmi tapak projek daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Tuai Rumah Kunjang, disaksikan oleh wakil Pusat Khidmat N.28 Lingga, Kaunselor Bakri Eni, bersama kontraktor yang telah dilantik bagi melaksanakan projek berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, projek yang bernilai RM99,973.94 ini bakal memberikan impak positif kepada penduduk kampung.
“Dengan terbinanya jalan lorong yang baharu dan lebih selesa, penduduk bukan sahaja dapat bergerak dengan lebih mudah, malah segala urusan harian termasuk aktiviti ekonomi dapat dijalankan dengan lebih lancar,” katanya.
Dayang Noorazah berkata tempoh pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember tahun ini, sekali gus menjadi satu lagi bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Terima kasih kepada semua pihak terlibat, khususnya JKR, Pusat Khidmat N.28 Lingga dan kontraktor pelaksana. Kita berharap projek ini berjalan lancar dan memberi manfaat besar kepada seluruh penduduk Kampung Sungai Daun,” katanya.
Sementara itu, penduduk kampung terbabit menyambut baik usaha ini yang diyakini mampu meningkatkan taraf hidup serta membawa kemajuan yang lebih mampan ke kawasan luar bandar.
Oleh Adi Safarman