Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • BIMP-EAGA pacu pertumbuhan perdagangan, pelaburan, keselamatan tenaga Sub-Rantau -Marcos JR
  • SEMASA

BIMP-EAGA pacu pertumbuhan perdagangan, pelaburan, keselamatan tenaga Sub-Rantau -Marcos JR

Utusan Sarawak 2 days ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-16 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Inisiatif bersama di bawah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) memainkan peranan penting merapatkan jurang pembangunan dalam sub-rantau.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr berkata inisiatif ini secara khususnya memberi kesan terhadap aspek seperti ketersambungan, kemudahan perdagangan dan pelaburan, serta keterjaminan makanan dan tenaga.

Beliau berkata bidang lain yang menyaksikan kemajuan ketara sejak BIMP-EAGA dilancarkan pada 1994 adalah ekopelancongan, serta pembangunan hijau.

“Semasa kita bersidang hari ini, marilah kita mengambil peluang ini untuk bukan sahaja meraikan kejayaan ini tetapi juga mengesahkan visi bersama kita untuk BIMP-EAGA yang lebih bersepadu, makmur dan berdaya tahan.

“Laluan ke hadapan memerlukan sinergi, inovasi dan kemahuan politik yang lebih besar. Saya yakin melalui kerjasama, kita akan terus mengubah aspirasi yang dipegang ini menjadi impak yang berkekalan untuk rakyat kita,” kata Marcos yang mempengerusikan Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-16 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Presiden Filipina itu berkata Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-16 di Kuala Lumpur tahun ini mempunyai kepentingan yang istimewa, kerana ia menandakan lapan tahun kemajuan inisiatif itu yang luar biasa sejak penerimaan Visi 2025.

Beliau berkata kerjasama dalam kalangan anggota BIMP-EAGA telah diperkukuhkan sejak 2017, yang membawa manfaat ketara bagi komuniti di seluruh rantau ini.

“Bersama-sama, kita telah meletakkan asas yang lebih kukuh untuk pertumbuhan yang inklusif, mampan dan didorong oleh inovasi,” katanya.

Beliau berkata BIMP-EAGA telah mengukuhkan komitmen untuk terus merapatkan jurang pembangunan di sub-rantau itu.

Inisiatif BIMP-EAGA meningkatkan pertumbuhan dalam perdagangan, pelaburan dan pelancongan melalui penyediaan laluan perkapalan yang baharu antara wilayah serta sambungan laluan udara, dan projek sambungan tenaga. Bidang kerjasama utama lain termasuk perniagaan tani, pelancongan, alam sekitar, dan pendidikan sosiobudaya.

Menurut laman webnya, sub-rantau itu meliputi seluruh Brunei; wilayah Kalimantan, Sulawesi, Maluku, dan Papua Barat di Indonesia; Sabah, Sarawak dan Labuan di Malaysia; dan pulau Mindanao serta wilayah Palawan di Filipina.

Kawasan ini secara geografi terletak jauh dari ibu negara, namun secara strategik berdekatan antara satu sama lain. Kawasan negeri dan wilayah ini mewakili lebih 60 peratus keluasan negara-negara BIMP-EAGA, namun ia membentuk kira-kira 18.8 peratus daripada jumlah penduduk dan 18.4 peratus daripada tenaga buruh.

Ekonomi BIMP-EAGA pada 2022 meningkat 7.7 peratus. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa bernilai ASD392.1 bilion (ASD1 = RM4.24), mencakupi 18.9 peratus daripada gabungan KDNK empat negara.

Sehingga Oktober 2023, bilangan projek infrastruktur keutamaan (PIP) BIMP-EAGA telah meningkat tiga kali ganda kepada 129, membabitkan jumlah ASD38.87 bilion, daripada hanya 57 projek pada 2017 apabila Visi 2025 BIMP-EAGA diterima pakai.

Hadir sama ke Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-16 hari ini ialah Menteri Luar Mohamad Hasan dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.– Bernama

Continue Reading

Previous: Penyertaan media ASEAN buka peluang tukar pengalaman, kepakaran
Next: DUN: S-MM2H catat 3,141 kelulusan sejak 2007

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.